Pharmaniaga semak pelan penyusunan semula, kurangkan terbitan saham tanpa keluarkan waran percuma | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga semak pelan penyusunan semula, kurangkan terbitan saham tanpa keluarkan waran percuma

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Nov - Pharmaniaga Bhd menyemak pelan penyusunan semula bagi keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dan mengurangkan modal terbitan saham tanpa pengeluaran waran percuma.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, terma saham hak kekal tidak berubah daripada pengumuman sebelumnya.

 

"Terbitan hak itu dijangka melibatkan sehingga 1.68 bilion saham, berdasarkan modal saham terbitan yang diluaskan kira-kira 1.47 bilion saham, dengan mengandaikan semua pilihan tertunggak berjumlah kira-kira 31.75 juta saham pada tarikh terakhir boleh dilaksanakan (LPD). 

 

"Terbitan itu mengikuti nisbah kelayakan lapan saham hak bagi setiap tujuh saham sedia ada, dengan harga terbitan indikatif 21 sen sesaham," katanya.

 

Pharmaniaga berkata, cadangan pengurangan modalnya akan melibatkan pembatalan sebanyak RM520 juta modal saham terbitan yang bakal dilaksanakan selepas selesai cadangan terbitan hak dan cadangan penempatan persendirian.

 

"Waran percuma itu telah dikecualikan daripada cadangan pelan penyelarasan bagi meningkatkan potensi  pendapatan masa depan kumpulan.

 

"Lembaga pengarah menjangkakan harga terbitan ditetapkan saham adalah mencukupi bagi memberi insentif kepada pemegang saham yang berhak," katanya. 

 

Pharmaniaga juga menekankan cadangan pelan penyusunan semula telah dipinda bagi mengurangkan lagi kerugian terkumpul selepas pelaksanaan cadangan pelan penyusunan semula.

 

Sementara itu, kumpulan tersebut berkata, hasil daripada perubahan pelaksanaan cadangan kumpulan bakal menempatkannya pada kedudukan baik bagi mengeluarkan dividen pada masa hadapan.- DagangNews.com