KUALA LUMPUR 21 Nov - Pos Malaysia Berhad melaporkan hasil sebanyak RM459 juta untuk suku ketiga tahun fiskal 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6% berbanding suku kedua tahun yang sama.
Walaupun mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM40.4 juta, syarikat itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 21.1% berbanding suku kedua 2024, yang didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen pos dan penerbangan.
Momentum positif dalam segmen pos telah didorong oleh peningkatan volum bungkusan, diperkukuh oleh penguasaan pasaran dan fokus yang berterusan terhadap pengurusan kos dan pengoptimuman rangkaian.
Segmen tersebut kekal komited kepada agenda transformasi dan kepelbagaian hasil, termasuk pembangunan tawaran produk antarabangsa.
Pos Aviation menjangkakan pertumbuhan berterusan tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan operasi penerbangan, lonjakan permintaan untuk katering dalam penerbangan dan pertumbuhan dalam pengendalian kargo serta perkhidmatan kejuruteraan penerbangan.
Segmen berkenaan berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan perjalanan dan logistik yang meningkat.
Sementara itu, Pos Logistics menghadapi cabaran pada suku ketiga akibat kerugian pertukaran asing yang tidak direalisasikan, menjadikan segmen terbabit secara aktif mencari peluang perniagaan baharu dan mengembangkan penguasaan pasarannya dalam sektor automotif, di samping penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan barang.
Kumpulan Pos Malaysia kekal komited kepada transformasi strategiknya dengan usaha berterusan untuk memacu pertumbuhan, inovasi dan kepelbagaian di seluruh segmen perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, walaupun persekitaran masih sangat mencabar, pihaknya gembira melihat peningkatan dalam segmen penting terutamanya dalam pos dan penerbangan, sementara syarikat terus melaksanakan strategi transformasi.
"Dedikasi pasukan kami terhadap inovasi dan kecemerlangan operasi meletakkan kami untuk masa depan yang lebih kukuh.
"Walaupun dalam persekitaran ini, kami tetap fokus untuk memberikan hari esok yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com