Program SLEP panjangkan hayat kapal lama APMM dapat terus beroperasi | DagangNews Skip to main content

Program SLEP panjangkan hayat kapal lama APMM dapat terus beroperasi

KM Sebatik menjadi kapal terbaru APMM yang menjalani proses penggantian jentera dan pasang pulih.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Selain pembelian 3 kapal baharu, Belanjawan 2025 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut membabitkan naik taraf 6 buah kapal sedia ada di bawah Ship Life Extension Programme (SLEP) Fasa 2.

 

SLEP atau program pemanjangan usia kapal merupakan program naik taraf secara ekstensif dan bukan penyelenggaraan biasa kapal.

 

Menerusi program pada tahun hadapan, 6 buah kapal peronda yang telah mencapai tempoh optimum akan dihantar ke limbungan tertentu untuk diselenggara.

 

Pada satu aspek, program SLEP dilihat keputusan yang positif daripada kerajaan berikutan kekangan aset yang dihadapi agensi itu ketika ini dalam menjaga keselamatan perairan negara.

 

Kapal
Kapal KM Sebatik.

 

Ini kerana untuk melaksanakan SLEP memerlukan peruntukan besar diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai kementerian bertanggungjawab.

 

Tanpa peruntukan khusus ini, kapal hanya menjalani penyelenggaraan rutin berdasarkan peruntukan kewangan yang ada.

 

Jadi, tidak banyak yang boleh dibuat pada kapal melainkan menyelenggara komponen-komponen dan memastikan ia dalam keadaan baik untuk terus digunakan.

 

Perkara yang penting pada penyelenggaraan naik taraf kapal ini adalah sistem pendorong, sistem komunikasi dan sistem elektronik.

 

Pemanjangan jangka hayat membolehkan tempoh optimum kapal beroperasi ditambah.

 

Kapal
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah (dua dari kanan) memeriksa kapal KM Peringgit yang diserahkan secara rasmi kepada agensi itu selepas siap kerja-kerja penggantian jentera dan pasang pulih.

 

Kapal

 

Kapal

 

Cuma pada aspek yang lain pula, ini bermakna APMM masih terus menggunakan kapal-kapal berusia untuk satu tempoh tertentu.

 

Sehinggalah kerajaan mempunyai peruntukan bagi membeli aset baharu, kapal-kapal berusia yang telah menjalani program SLEP akan terus membelah samudera negara.

 

Sepertimana diketahui, APMM berdepan kekangan keupayaan aset dalam menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di kawasan sempadan perairan negara.

 

Hampir separuh aset-aset kapal APMM berusia lebih 40 tahun memandangkan kebanyakan adalah kapal terpakai bekas kepunyaan agensi penguatkuasaan lain.

 

APMM mewarisi kapal-kapal bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut.

 

Kapal
Kapal KM Gagah.

 

Terdapat juga kapal-kapal yang disumbangkan negara sahabat seperti Jepun dan Australia.

 

Bagaimana pun, secara berperingkat-peringkat APMM dalam proses menerima kapal-kapal peronda baharu seperti kapal NGPC dan OPV.

 

Tahun ini juga telah menyaksikan 5 buah kapal peronda APMM selesai siap menjalani program penggantian jentera (repowering) dan pasang pulih (refit) bagi meningkatkan jangka hayat kapal.

 

Kerajaan pada penghujung tahun 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM17.4 juta bagi program penyelenggaraan ini.

 

Terbaru ialah kapal KM Sebatik menjalani proses modenisasi dengan penambahbaikan serta pertukaran sebahagian besar komponen.

 

Kapal
Majlis penyerahan kapal KM Gagah.

 

Ini melibatkan jentera utama, janakuasa, sistem elektronik, kemudahan kru dan lain-lain.

 

Program repowering jentera utama dan refit selama 22 bulan ini dilakukan di limbungan OBM Technic Sdn. Bhd., Kuala Terengganu, Terengganu bermula Disember 2022.

 

KM Sebatik dibina pada tahun 1982 untuk Pasukan Polis Marin oleh Penang Shipbuilding Corporation.

 

Pada 18 Oktober lalu, kapal KM Peringgit diserahkan secara rasmi kepada APMM setelah melalui proses repowering dan refit di Pejabat Zon Maritim Sandakan, Sabah.

 

Kerja-kerja ini dilakukan di limbungan Pleasant Engineering Sdn. Bhd. di Sandakan , Sabah bermula 19 Disember 2022.

 

Kapal
Pencerobohan nelayan asing antara penugasan APMM bagi memastikan sumber marin negara tidak dijarah.

 

Kapal

 

Turut ditukar ialah sistem pendorong yang baharu dengan menggunakan jentera utama model Cummins QSK60.

 

Selain itu kapal ini turut didatangkan bersama radar i band bagi memastikan pemantauan secara meluas selain boleh memuatkan 16 orang anak kapal pada satu-satu masa.

 

Seperi KM Sebatik, KM Peringgit yang berusia 40 tahun bekas kapal peronda Pasukan Polis Marin yang dibina Hong Leong Lurssen Shipyard di Butterworth.

 

Pada September lalu, kapal KM Gagah yang menjangkau usia lebih 40 tahun kembali memperkukuh operasi APMM selepas 20 bulan menjalani program senggaraan jentera utama.

 

Perolehan penggantian jentera dan pasang pulih dijalankan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Resources Sdn Bhd melalui kerjasama KDN dan UniKL Malaysia Institute of Marine Engineering Technology (UniKL Mimet).

 

Kapal
Kapal KM Pekan sumbangan kerajaan Jepun kepada Malaysia.

 

Kapal
KM Langkawi merupakan kapal OPV bekas kepunyaan TLDM yang menghampiri usia 40 tahun.

 

Kerja-kerja tersebut dijalankan di Limbungan UniKL Mimet di Lumut, Perak.

 

KM Gagah bekas kapal peronda Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada APMM pada Jun 2005.

 

Sebuah lagi kapal peronda APMM, KM Siangin pula telah berjaya melalui proses penggantian jentera dan pasang pulih yang dilaksanakan oleh Limbungan LUNAS Langkawi, Kedah.

 

Pada Mei lepas, APMM negeri Johor menerima kapal KM Mulia setelah selesai menjalani repowering jentera utama dan refit selama 16 bulan. - DagangNews.com