Prospek pesanan kerja VS Industry positif didorong pemulihan permintaan daripada pelanggan utama - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek pesanan kerja VS Industry positif didorong pemulihan permintaan daripada pelanggan utama - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Prospek pesanan kerja VS Industry Bhd adalah positif didorong pemulihan permintaan dan pelancaran produk baharu daripada pelanggan utama, kata RHB Investment.

 

Katanya, penarikan semula sekatan bagi pengeluaran produk penjagaan lantai Pelanggan X berikutan penstrukturan semula di bawah pengurusan baharu akan membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan untuk mendapatkan lebih banyak kontrak baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga menandakan hubungan yang lebih kukuh antara kumpulan dan Pelanggan X, ia dibuktikan dengan kumpulan itu mendapatkan dua model baharu daripada mereka dengan pengeluaran komersial dijadualkan bermula antara Februari dan Mac 2025.

 

"Sementara tu, di Filipina, kemajuan kerja-kerja pengubahsuaian di kilang yang dipajaknya berada di landasan tepat dan pengeluaran dijadualkan bermula antara Mac dan April 2025.

 

"Ia seharunya menyokong pertumbuhan pendapatan jangka pendek VS Industry, dengan pesanan bernilai RM1.2 bilion dalam tangan dan jangkaan kemenangan kontrak lain menjelang suku pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih lebih rendah berjumlah RM30.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2024 (1QFY25) berbanding RM48.98 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Perolehan bagi suku berkenaan menyusut RM29.5 juta kepada RM1.11 bilion daripada RM1.14 bilion sebelumnya, disebabkan pesanan jualan lebih rendah daripada pelanggan sedia ada dan kadar tukaran asing yang tidak menggalakkan.

 

Berdasarkan segmen geografi, perolehan di Malaysia kekal stabil, tetapi keuntungan terkesan dengan kerugian akibat tukaran asing bersih berjumlah RM2.7 juta berbanding keuntungan RM8.5 juta pada tahun sebelumnya.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk kelewatan besar dalam rancangan pengembangan dan kehilangan bahagian pasaran yang ketara.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan Harga sasaran (TP) RM1.39 sesaham. - DagangNews.com