KUALA LUMPUR 8 Okt - Proton bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTM) bagi meningkatkan kemahiran pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan pekerja Proton sedia ada melalui program latihan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam industri automotif tempatan.
Memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan Program Latihan Struktur Proton ADTEC itu ditandatangani oleh Setiausaha JTM, Datuk Rospiagos Taha, Persatuan Vendor Proton (PVA) dan Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA) semasa Karnival TVET di ADTEC Melaka pada 3 Oktober 2024.
Sementara itu, pelancaran program itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon.
Proton berkata, bagi memperluaskan inisiatif, kerjasama itu juga akan menyediakan akses kepada 33 institusi ADTEC dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) lain di bawah JTM.
“Institusi Latihan JTM (ILJTM) tersebut merangkumi 10 kluster, termasuk penyelenggaraan elektrik, perkhidmatan kejuruteraan, pembuatan produk dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Kerjasama ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada Proton tetapi juga berpotensi untuk meluaskan kepada vendor dan pengedar melalui latihan dan penempatan, pembangunan modul, perantisan dan pensijilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, program itu bukan sahaja pelaburannya untuk golongan orang muda tetapi, membangunkan masa depan yang lestari dalam sektor automotif serta memberi manfaat kepada seluruh ekosistemnya.
“Kami komited untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasakan bakat adalah penting untuk pertumbuhan Proton dan industri automotif.
“Inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan tenaga kerja kami tetapi juga memupuk inovasi dan kecemerlangan dalam operasi kami serta memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam industri,” katanya.
Program itu akan memberikan bekalan berterusan pekerja mahir dan juruteknik ke dalam ekosistemnya, latihan dan pensijilan yang berterusan, inisiatif penambah baik dan peningkatan pusat Proton Dojo dan modul latihan.
Selepas majlis menandatangani MoU, 16 pelajar dari ADTEC Melaka menerima surat tawaran perantisan selama enam bulan, manakala lima pensyarah menerima surat penempatan kerja selama satu bulan dengan PROTON, PVA dan PEDA.
Mereka berpeluang untuk menjalani latihan di tempat kerja di kilang PROTON dan Geely, dengan penempatan pekerjaan pilihan di kilang pembuatan atau kilang enjin Proton.
Lima kakitangan sedia ada Proton dipilih untuk menyertai program modular yang diberikan oleh ADTEC Melaka, dengan sasaran untuk mencapai 600 kakitangan Proton secara berperingkat- DagangNews.com