KUALA LUMPUR 6 Dis - Pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (Auto ConneXion) akan mengadakan acara off-road perdana di Malaysia, yang bakal menampilkan pemilik Ford Ranger Raptor dengan 50 penyertaan sahaja.
Acara Raptor Rev, yang akan diadakan di Bay 13, Litar Sepang, Selangor pada 11 dan 12 Januari 2025 itu, membolehkan peserta mengikuti latihan mengenai pemanduan off-road, termasuk teori suspensi, tayar, lompatan, drifting serta laluan berhalangan 4x4.
Mereka juga akan bersaing dalam Cabaran Autocross untuk menguji kemahiran, dengan pemenang bakal membawa pulang baucar minyak bernilai RM3,000.
Bagi pengunjung lain, mereka dijemput menyertai acara karnival serta menyaksikan prestasi Ranger Raptor secara langsung.
Acara berkenaan turut ditaja jenama tayar terkemuka, BFGoodrich, yang menyediakan sokongan teknikal dengan taklimat dan pengalaman praktikal berkaitan tayar.
Pengunjung juga dapat meneroka ruang pameran BFGoodrich yang akan mempamerkan tayar KO3 yang baru dilancarkan, menawarkan prestasi dan ketahanan terbaik.
Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana berkata, pihaknya teruja menjadi sebahagian daripada acara tersebut, yang memberi peluang untuk memperkasakan pemandu serta berkongsi kepakaran dalam teknologi tayar bersama komuniti.
Untuk penyertaan Raptor Rev, pemilik kenderaan Ranger Raptor boleh mendaftar dengan yuran sebanyak RM275 termasuk pakej makanan dan minuman sepanjang hari, akses kepada bengkel khusus mengenai pemanduan off-road dan prestasi kenderaan, Cabaran Autocross serta menerima kemeja-T Raptor dan topi edisi terhad.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui laman web rasmi www.raptorrev.com.my.
Acara itu juga terbuka secara percuma kepada orang awam yang bukan pemilik Ranger Raptor. - DagangNews.com