KUALA LUMPUR 18 Dis - SD Guthrie Bhd, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) dan NS Corporation (NS Corp), cabang pembangunan kerajaan Negeri Sembilan, memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan taman perindustrian bernilai RM2.95 bilion di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, taman perindustrian seluas 472 hektar itu, terletak dalam koridor ekonomi Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) yang menyasar untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Pembangunan tersebut yang merangkumi lot industri, kilang dan hartanah komersil itu dijangka siap selama lapan tahun.
“Lokasi strategik Bukit Pelandok dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, lebuh raya utama dan pelabuhan akan mengukuhkan lagi kedudukan taman perindustrian itu sebagai hab pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Pengerusi NS Corp, Datuk Seri Aminuddin Harun menekankan kepentingan taman itu yang sejajar dengan wawasan Negeri Sembilan untuk menjadi negeri yang makmur, inklusif dan mampan menjelang 2045.
“Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui penggunaan tanah yang strategik, infrastruktur yang lebih baik dan kemudahan komuniti yang dipertingkatkan.
“Projek ini mencerminkan aspirasi kami untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha juga mengulas tentang prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) projek yang menumpukan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk mencipta aliran hasil yang mampan.
“Melalui amalan mampan dan ekosistem perindustrian yang disesuaikan, kami menyasarkan untuk memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham sambil menyokong cita-cita pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, projek itu akan menjana peluang perniagaan baharu dan meningkatkan daya tarikan Negeri Sembilan kepada pelabur global. - DagangNews.com