KUALA LUMPUR 5 Dis - Segmen penapisan dan oleokimia Kula Lumpur Kepong Bhd (KLK) diramal memberi sumbangan lebih baik pada tahun kewangan 2025 (FY25) disokong peningkatan permintaan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, pada FY24, segmen oleokimia mencatatkan keuntungan dan mengimbangi kerugian dalam segmen penapisan.
Firma penyelidikan itu berkata, kerugian segmen penapisan sebahagiannya disebabkan kerugian pra pentauliahan untuk kompleks bersepadu di Kalimantan Timur, Indonesia.
"Bagi segmen oleokimianya, pendapatan berkemungkinan bertambah baik berikutan usaha penstrukturan semula besar-besaran padaFY23 hingga FY24 manakala permintaan juga dijangka bertambah baik secara beransur-ansur.
"Terdapat juga beberapa kerugian kecil pra operasi pada segmen sarung tangan pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi FY24 susut 29.2% kepada RM590.961 juta daripada RM834.26 juta pada tahun sebelumnya disebabkan kerugian cukai tidak diiktiraf dan kerugian luar biasa.
Hasil kumpulan itu juga susut kepada RM22.27 bilion berbanding RM23.65 bilion pada tahun sebelumnya.
Maybank IB berkata, kumpulan itu juga menjangkakan bahagian kerugian ekuiti berkurangan secara mendadak daripada Synthomer pada FY25, walaupun nilai pelaburan KLK dalam Synthomer masih tinggi selepas kemerosotan nilai.
Katanya, jika Donald Trump mengenakan tarif import yang lebih tinggi ke atas sarung tangan China, KLK dipercayai akan memberi manfaat kepada Synthomer kerana ia membekalkan bahan mentah kepada pembuat sarung tangan di Malaysia.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM21.30 sesaham. - DagangNews.com