KUALA LUMPUR 20 Jan - Seven Bank, Ltd., cabang perniagaan perbankan kumpulan 7-Eleven, mengumumkan rancangan pemasangan ATM di cawangan-cawangan kedai serbaneka 7-Eleven di Malaysia, melibatkan 100 unit pertama di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
Pemasangan tersebut akan diperluaskan lagi ke Sabah dan Sarawak pada tahun 2026, dengan memberi tumpuan kepada kawasan pinggir bandar bagi membolehkan penduduk yang mempunyai akses terhad kepada fungsi perbankan meraih manfaat pelan berkenaan.
Presiden dan Wakil Pengarah Seven Bank Limited, Masaaki Matsuhashi berkata, mesin ATM yang akan dikenali dengan jenama Reachful itu, merangkumi perkhidmatan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit wang tunai (CDM).
"Melalui kerjasama dengan syarikat rakan kongsi kami untuk menyediakan perkhidmatan ATM di rangkaian kedai 7-Eleven di Malaysia, kami berharap dapat memperkaya kehidupan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Abadi Tambah Mulia International Malaysia Sdn. Bhd., Jin Sudo pula berkata, Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam populasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Masyarakat kini beralih kepada kehidupan tanpa tunai. Mata wang dalam edaran juga berada pada tahap yang tinggi. Kami mendapati pasaran ini sangat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan kami," ujarnya.
Sebelum ini, Reachful Malaysia dikenali sebagai Abadi Tambah Mulia Internasional Malaysia Sdn Bhd.
Syarikat itu ditubuhkan pada 30 Mei 2024.
Sejak pemasangan ATM pertama di luar negara di Amerika Syarikat pada tahun 2017, Seven Bank telah mengembangkan perniagaannya di Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina dengan lebih 21,000 pemasangan ATM pada 2024.
Malaysia menjadi pasaran keempat di luar negara asalnya, Jepun.
Syarikat itu berhasrat untuk memberikan nilai tambah yang unik dengan menggabungkan perkhidmatan runcit dan kewangan pada masa hadapan. - DagangNews.com