KUALA LUMPUR 4 Dis - Peneraju penyelesaian perbankan digital dan teknologi kewangan (fintech), Silverlake Axis Ltd. (SAL) dan Agrobank, melancarkan Agro Touch, sebuah sistem perbankan mudah alih yang dibangunkan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan.
Rumusan menggunakan platform GoMobile SAL itu, membolehkan pelanggan membuka akaun deposit dalam masa kurang 15 minit, tiga kali lebih pantas berbanding proses biasa.
Penambahbaikan tersebut terhasil daripada penyepaduan peranti biometrik, percetakan tanpa wayar dan aliran proses yang teratur, mencerminkan kepakaran SAL dalam menyediakan rumusan perbankan digital yang mesra pengguna dan boleh disesuaikan mengikut skala.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SAL, Cassandra Goh berkata, pihaknya sentiasa berbangga dengan kejayaan dan perubahan yang telah dilaksanakan bersama Agrobank.
"Agro Touch mencerminkan komitmen kami untuk mencipta rumusan perbankan praktikal yang memenuhi keperluan masyarakat.
"Dengan menyediakan perkhidmatan yang fleksibel dan cekap tanpa bergantung kepada lokasi, kami komited untuk terus meningkatkan akses perbankan serta menyokong keterangkuman kewangan di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Pelancaran Agro Touch bermula dengan projek perintis di cawangan utama di Kuala Lumpur, Kuantan dan Ipoh, diikuti dengan pelaksanaan di tujuh cawangan tambahan iaitu Alor Setar, Butterworth, Shah Alam, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.
Pelaksanaan sepenuhnya di seluruh negara dijangka pada suku pertama 2025, membolehkan Agrobank memberi perkhidmatan kepada pelanggan bukan sahaja di premis cawangan, tetapi juga di lokasi terpencil, memanfaatkan mobiliti GoMobile SAL.
Ciri serba boleh berkenaan memberikan manfaat besar terutamanya kepada masyarakat yang kurang mendapat akses perkhidmatan, khususnya semasa acara kempen dan di kawasan pedalaman.
Dengan Agro Touch, pelanggan kini boleh membuka akaun deposit baharu pada bila-bila masa dan di mana sahaja dalam tempoh kurang 15 minit, sama ada di cawangan atau mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet.
Platform GoMobile SAL menawarkan reka bentuk inovatif yang menyepadukan ciri-ciri utama seperti mengimbas kad pengenalan, pengesahan biometrik dan percetakan laser tanpa wayar.
Dengan antara muka pengguna yang intuitif dan pandangan 360 pelanggan, pegawai bank juga boleh meningkatkan interaksi pelanggan dengan melakukan jualan produk semasa proses pendaftaran.
Kerjasama bersama Agrobank iitu mengukuhkan lagi kepimpinan SAL dalam perubahan digital di seluruh Asia Tenggara, selepas perkongsian terkini dengan institusi peneraju serantau, seperti Chip Mong Group di Kemboja, Safeguards Corp di Malaysia dan Bank Mandiri Taspen di Indonesia. - DagangNews.com