SME Bank perbaharui perjanjian kolektif, beri manfaat kepada 127 pekerja bukan eksekutif  | DagangNews Skip to main content

SME Bank perbaharui perjanjian kolektif, beri manfaat kepada 127 pekerja bukan eksekutif 

Dari kiri: Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank, Muhammad Razif Mahaboob, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan SME Bank, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Setiausaha Agung NUCW Jil Afril Jamaluddin dan Setiausaha Eksekutif NCUW Saipul Mat Ramli dan T.M Rajeswaran di majlis menandatangani MoU baru-baru ini.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - SME Bank Malaysia Bhd menandatangani pembaharuan perjanjian kolektif bagi tempoh Julai 2022 hingga Jun 2025 dengan National Union of Commercial Workers (NUCW) bagi memberi manfaat kepada 127 pekerja bukan eksekutif bank itu. 

 

Perjanjian pembaharuan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 26 Ogos 2024 itu akan membolehkan 127 pekerja tersebut menerima penambahbaikan kepada terma dan syarat pekerjaan mereka.

 

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pembaharuan itu kan merangkumi pakej gaji yang lebih baik dan peningkatan elaun sara hidup bulanan bagi menyokong pekerja kami menguruskan kenaikan kos sara hidup. 

 

"Warga SME Bank adalah tulang belakang kejayaan syarikat dalam mencipta nilai bagi ekosistem perniagaan kecil dan sederhana (PKS) melangkaui perkhidmatan kewangan.

 

"Kami komited dalam memupuk persekitaran yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pekerja SME Bank," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Majlis itu disempurnakan oleh Mohammad Hardee; Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan SME Bank, Shuhaibahtulaslamiah Hurmuzan; Ketua Perhubungan Perusahaan SME Bank, Muhammad Razif Mahaboob Bersama wakil kakitangan SME Bank, Saipul Mat Ramli. 

 

Sementara itu, mewakili NUCW adalah Setiausaha Agung, Jil Afril Jamaluddin dan Setiausaha Eksekutif, T.M Rajeswaran.

 

Selain itu, mewakili kakitangan bukan eksekutif SME Bank, Presiden NUCW, Muhammad Nazrul Nizar Zulkifli berkata, pembaharuan perjanjian itu adalah bukti komitmen SME Bank dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan kakitangan bukan eksekutif Bank sentiasa diberikan keutamaan. 

 

"Kami berharap agar dapat kekal bekerjasama dengan SME Bank pada masa akan datang," katanya.- DagangNews.com