SME Bank perkenal pelan halal lima tahun, tawar pembiayaan Islam bernilai RM2.41 bilion | DagangNews Skip to main content

SME Bank perkenal pelan halal lima tahun, tawar pembiayaan Islam bernilai RM2.41 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Okt - SME Bank Malaysia Berhad (SME Bank) memperkenalkan pelan halal lima tahun yang berasaskan kepada tawaran pembiayaan Islam bernilai RM2.41 bilion sebagai komitmen untuk menyokong Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) kerajaan.

 

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pelan itu menyokong ekosistem halal melalui tiga teras utama iaitu pembangunan kapasiti, inovasi produk dan pembiayaan, serta usaha untuk globalisasi halal.

 

"Ia direka untuk membantu perniagaan memperoleh pensijilan halal, sambil memberikan akses yang lebih mudah kepada modal dan memberdayakan mereka untuk berkembang dalam pasaran, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohammad Hardee juga menyatakan, SME Bank adalah satu daripada institusi kewangan yang diamanahkan dalam Belanjawan 2024 untuk menggerakkan Program Pembiayaan HalalBiz yang menggalakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam ekosistem berkenaan.

 

Pembiayaan oleh SME Bank itu mewakili 27% daripada jumlah portfolio syarikat dalam pelbagai segmen ekonomi utama.

 

Melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), bank terus memperkasakan ekosistem PMKS melalui pelbagai sesi bimbingan perniagaan, perundingan pensijilan halal dan jelajah halal yang digerakkan melalui Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Pembangunan Kapasiti Keusahawanan Halal dan Program Keusahawanan Teknologi Halal.

 

Ketua Pegawai Shariah Kumpulan SME Bank, Jumadi Kadir turut menekankan integrasi konsep Halal Tayyib dalam Pelan Hala Tuju Halal Bank.

 

"Ini bukan sekadar pematuhan terhadap piawaian halal, tetapi juga memastikan amalan etika merentasi keseluruhan industri halal, sekali gus memupuk ekosistem yang berkembang maju untuk PMKS," katanya.

 

Menurut Pelan Induk Industri Halal 2030, pasaran Halal Malaysia dijangka mencecah RM523.3 bilion dan disasarkan menyumbang hampir 11% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030 dan mewujudkan lebih 700,000 peluang pekerjaan.

 

Pada masa ini, industri halal menyumbang kira-kira 6% hingga 7% daripada KDNK negara, dengan anggaran nilai pasaran sebanyak RM64 bilion.

 

HIMP 2030 merupakan inisiatif strategik yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju terkemuka dalam ekonomi halal global dan dibangunkan untuk memangkin kedudukan Malaysia dalam pembangunan industri halal  berteraskan tujuh komponen strategik. 

 

Ini termasuk memperkukuh dasar dan perundangan mesra halal, mewujudkan ruang pasaran baharu dan lebih besar, membina kumpulan pakar industri halal, meningkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan bersepadu, memupuk kepimpinan pemikiran, melahirkan lebih ramai juara halal tempatan dan memudahkan penyertaan Bumiputera yang lebih kompetitif. - DagangNews.com