KUALA LUMPUR 30 Okt - Southern Score Builders Bhd, pakar pengurusan pembinaan untuk bangunan kediaman bertingkat tinggi dan infrastruktur awam, bercadang untuk memindahkan penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Securities.
Bagi memudahkan cadangan itu, kumpulan berhasrat memasuk pindaan berkaitan dengan perlembagaan syarikat selepas selesai cadangan itu agar selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.
Sehubungan itu, lemabaga pengarah kumpulan akan memohon kelulusan pemegang saham mengenai cadangan, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang yang akan diadakan pada 12 Disember 2024.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gan Yee Hin berkata, penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Securities adalah sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan kredibiliti, kedudukan dan reputasi kumpulan.
Katanya, ia juga akan mencerminkan skala operasi kumpulan dan pada masa sama mengakui sangat teruja untuk mengumumkan butiran lanjut mengenainya sebaik ahaja lembaga pengarah memuktamadkan syarat-syaratnya.
"Melangkah ke hadapan, kumpulan ini menjanjikan perkembangan positif kerana memiliki enjin pertumbuhan progresif dalam perkhidmatan pengurusan pembinaan dan pengembangan dalam bahagian mekanikal dan elektrikal (M&E) yang akan datang.
"Kami teruja dengan prospek SJEE Engineering Sdn Bhd kerana ia bersedia untuk mendapat manfaat daripada ledakan pusat data di Malaysia.
"Cadangan Pengambilalihan dijangka selesai menjelang November 2024 dan tumpuan segera kami untuk bahagian ini adalah untuk mendapatkan lebih banyak pekerjaan pusat data di mana terdapat banyak peluang," katanya.
Terdahulu, kumpulan itu telah menerima kelulusan pemegang saham untuk cadangan pemerolehan 51.0% kepentingan dalam SJEE dengan pertimbangan RM23 juta.
Cadangan pengambilalihan datang dengan jaminan, SJEE akan mencapai keuntungan terkumpul bersih tidak kurang daripada RM15 juta dalam tempoh tiga tahun.- DagangNews.com