SPB Development failkan IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia, kumpul dana biayai projek sedia ada | DagangNews Skip to main content

SPB Development failkan IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia, kumpul dana biayai projek sedia ada

Taman Nuri, Melaka yang sedang dibangunkan oleh SPB Development - Gambar hiasan dari laman web rasmi SPB
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt - Pemaju hartanah, SPB Development Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk memperoleh lebih banyak tanah dan membiayai projek sedia ada.

 

Menurut draf prospektusnya, syarikat berpangkalan di Melaka itu sedang menjalankan kajian bagi mengembangkan atau menambah simpanan tanahnya bagi pembangunan masa depan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka dan Johor.

 

Bagaimanapun, syarikat itu berkata, ia masih belum memulakan sebarang rundingan untuk pembelian tanah tersebut.

 

"Sebahagian daripada hasil IPO itu juga akan digunakan sebagai modal kerja dalam fasa pembangunan kediaman yang akan datang di Lunas, Kedah dan di Banting, Selangor yang dianggarkan bernilai RM210 juta. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk terus mengembangkan kehadiran kami di kawasan perindustrian, bermula dengan pembangunan di Banting yang akan datang di Selangor yang berpotensi untuk meningkatan pertumbuhan syarikat,” katanya.

 

Projek tujuh fasa itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM332 juta.

 

SPB kini sedang membangunkan tiga projek iaitu Taman Nuri di Melaka, Taman La Casa Lunas di Kedah, dan Taman Akasia di Johor dengan jumlah GDV RM389 juta.

 

Syarikat itu masih mempunyai simpanan tanah seluas 268.71 hektar yang belum dibangunkan di seluruh negara.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 191.1 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 87.3 juta saham sedia ada. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu menawarkan pelabur sehingga 30% kepentingan dalam syarikat itu, yang memperoleh keuntungan bersih RM46.02 juta daripada hasil RM200.81 juta pada 2023.

 

Jumlah IPO yang dicadangkan itu melibatkan tranche institusi sebanyak 231.4 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk pelabur Bumiputera, pada harga yang akan ditentukan melalui pembinaan buku.

 

Sementara itu, peringkat runcit akan menyaksikan 47.1 juta saham diperuntukkan kepada orang awam dan orang yang layak di Malaysia pada harga runcit. 

 

SPB berkata, sebahagian daripada hasil juga telah diperuntukkan untuk pembelian acuan aluminium untuk projek pembangunan akan datang di Banting, Selangor dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. 

 

Selebihnya, dana itu akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Sementara itu, sebarang hasil daripada tawaran jualan akan diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Eksekutif Datuk Yap Pit Kian, yang mengasaskan SPB.

 

Selepas IPO, kawalan hampir lengkap beliau dalam SPB akan dicairkan kepada 2% kepentingan langsung dan 60% saham tidak langsung melalui kenderaan keluarga PKYap Family Capital Sdn Bhd dan PK Holdings Sdn Bhd.

 

Anak lelakinya, Datuk Jacky Yap kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif SPB, manakala seorang lagi anak lelaki Datuk Sean Yap, adalah Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu dan Yap Lih Shyan, anak perempuannya, ialah Ketua Pegawai Operasi SPB.

 

Hong Leong Investment Bank merupakan penasihat utama, pengumpul buku dan penaja jamin IPO, manakala penasihat korporat Sierac, ialah penasihat kewangan. - DagangNews.com