KUALA LUMPUR 5 Nov - Perniagaan pergudangan Tasco Bhd dan faktor bermusim bersama dengan kadar penghantaran barang yang tinggi dijangka menyokong prestasi kewangan syarikat pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (2HFY25).
RHB Investment, yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran baharu RM1.12 sesaham menjangkakan 2HFY25 akan membentuk sebahagian besar pendapatan setahun penuh disebabkan faktor bermusim.
Pada masa sama ia akan meningkat kadar penghantaran barang dan gudang baharu walaupun 2QFY25 mengalami kekurangan sumbangan penghantaran barang yang lebih lemah daripada jangkaan.
“Kedua-dua segmen pengangkutan udara dan penghantaran laut akan terus mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh tahun ke tahun pada suku tahun akan datang di tengah-tengah pasaran kargo yang menggalakkan di samping musim puncak yang akan datang.
"Selain itu, kami menjangkakan sumbangan lebih tinggi daripada gudang baharu selepas kelewatan dalam pergerakan kargo, serta sumbangan daripada pemain automotif utama baharu,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menyemak turun pendapatan FY25 sebanyak 12% disebabkan semakan menurun ke atas andaian marginnya untuk segmen penghantaran.
“Namun begitu, kami menjangkakan 2HFY25 yang lebih kukuh, didorong oleh pasaran kargo yang menggalakkan, pemulihan volum dan sumbangan daripada gudang baharu.
"Penilaian kumpulan itu kekal menarik untuk pemain logistik bersepadu terkemuka dengan pelbagai segmen dan potensi pertumbuhan,” katanya. - DagangNews.com