PETALING JAYA 11 Okt - Loob Holding Sdn Bhd bekerjasama dengan konglomerat terkemuka di Dubai, Eureka Restaurant & Cafe, untuk membawa Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ini merupakan langkah pertama Tealive memasuki pasaran Asia Barat yang berpotensi besar, selepas kejayaan menembusi pasaran Afrika dan Amerika Utara dalam tempoh dua tahun.
Pengasas dan CEO Loob Holding, Bryan Loo, menandatangani Perjanjian Francais Induk di Dubai pada awal minggu ini bersama pengasas Eureka Restaurant & Cafe, Abdulwahab Ilyas Galadari, yang juga ahli lembaga kumpulan Ilyas & Mustafa Galadari (IMG).
IMG Group dan Eureka Restaurant & Cafe adalah konglomerat dari legasi keluarga Galadari, yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk taman tema, makanan dan minuman, teknologi, perdagangan, komoditi dan pelaburan.
Dengan lebih daripada 1,000 cawangan di Asia Tenggara, Mauritius dan Kanada, Tealive kini bersedia untuk memenuhi permintaan tinggi di Asia Barat terhadap teh boba dan minuman gaya hidup, bermula dengan pasaran UAE yang dinamik.
Bryan berkata, pasaran UAE sangat menarik dengan landskap makanan dan minuman yang pesat berkembang.
"Bekerjasama dengan Eureka adalah kunci untuk membawa pengalaman minuman Tealive ke UAE, dengan menggabungkan inovasi kami bersama budaya tempatan.
"Kami yakin kerjasama ini akan menjadi batu loncatan kepada kejayaan peluasan cawangan Tealive ke Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan.
Abdulwahab yakin, dengan populasi 10.2 juta penduduk di UAE, minuman teh Tealive yang unik seiring dengan gaya hidup kosmopolitan dan citarasa yang pelbagai di negaranya.
"Kami melihat potensi besar untuk jenama ini berkembang, dan bersama-sama dengan Loob, kami berhasrat menjadikan Tealive sebagai jenama teh boba pilihan utama di rantau ini," ujar beliau.
Fasa pertama pembukaan cawangan Tealive akan tertumpu di bandar-bandar utama, bermula dengan kedai pertama di Dubai pada awal 2025, diikuti empat lagi cawangan di bandar-bandar utama UAE dalam tahun pertama operasi.
Menurut Bryan, Eureka Restaurant & Cafe merupakan antara peneraju utama dalam industri makanan dan minuman, sehubungan itu pihaknya akan memanfaatkan kepakaran serta rangkaian luas mereka di peringkat tempatan untuk terus memperkukuh dan mengembangkan pasaran.
Beliau menambah, Tealive akan meneruskan strategi serantaunya yang sedia ada, dengan bermula secara kecil-kecilan dan berkembang dengan pantas apabila keadaan pasaran sesuai.
"Dengan Eureka Restaurant & Cafe sebagai rakan niaga, kami mempunyai pakar tempatan yang berpengetahuan luas serta memiliki pendedahan dan pengalaman niaga antarabangsa yang kukuh," katanya.
Bryan juga berhasrat membuka cawangan Tealive di taman tema milik Eureka Restaurant & Cafe, IMG Worlds of Adventure yang terbesar di Dubai dan dikunjungi lebih 20,000 orang setiap hari. - DagangNews.com