KUALA LUMPUR 4 Dis – Penyedia logistik bersepadu, Teleport, dijangka menamatkan tahun ini dengan rekod pendapatan mencecah RM1 bilion, mencatatkan pertumbuhan 50 peratus tahun ke tahun (y-o-y) bagi tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pete Chareonwongsak berkata, pencapaian itu adalah hasil daripada pelaksanaan empat strategi utama sepanjang 2024.
"Strategi-strategi ini termasuk jumlah perolehan yang lebih tinggi dari lima pasaran e-dagang utama di China, peluasan rangkaian Teleport untuk meningkatkan kapasiti dan capaian, serta tumpuan kepada pengoptimuman kos," katanya semasa taklimat media, di sini hari ini seperti laporan Bernama.
Beliau juga menekankan kepentingan pesawat yang lebih besar dalam menyokong pertumbuhan, serta bagaimana kargo udara boleh melengkapkan rangkaian AirAsia.
"Pertumbuhan jumlah yang signifikan menjadi faktor pendorong. Ini mencerminkan model perniagaan yang sedikit berbeza yang mengutamakan jumlah lebih tinggi, membolehkan kami merekod hasil yang tidak dapat dicapai oleh pihak lain," katanya.
Chareonwongsak berkata, Teleport mampu berkembang ke pasaran e-dagang rentas sempadan di Asia Tenggara, didorong oleh operasi kargo udaranya.
Pada suku ketiga yang berakhir 30 September 2024, hasil Teleport meningkat sebanyak 52 peratus berbanding tahun sebelumnya (y-o-y) kepada RM286.7 juta, dipacu oleh peningkatan sebanyak 31 peratus dalam tan dan kenaikan sebanyak 113 peratus dalam jumlah bungkusan penghantaran.
Lebih 15.7 juta bungkusan dihantar dalam suku tersebut, menjadikan jumlah penghantaran tahun ini melebihi 47 juta bungkusan.
Syarikat itu juga mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif sebanyak RM21.9 juta pada suku tersebut.
"Trend EBITDA yang meningkat ini disokong oleh pengurusan kos yang dioptimumkan dan penstabilan operasi kargo udara," ujarnya.
Buat masa ini, Teleport mengendalikan tiga pesawat kargo Airbus A321 untuk memenuhi permintaan logistik yang semakin meningkat, serta dilengkapi dengan kapasiti perut pesawat AirAsia dan kerjasama dengan lebih daripada 40 syarikat penerbangan lain.
"Sebanyak 10 lagi rakan kongsi dijangka menyertai kami," tambahnya.
Chareonwongsak memberitahu, Teleport mensasarkan untuk mengendalikan dua juta bungkusan setiap hari merentasi semua segmen perniagaan menjelang penghujung 2025, disokong oleh 10 pesawat kargo, rangkaian AirAsia dan tambahan rakan kongsi syarikat penerbangan.
"Pada masa ini, jumlah bungkusan harian kami melebihi 200,000 dan kami menjangkakan ia akan mencapai kira-kira 350,000 bungkusan menjelang akhir tahun," katanya. - DagangNews.com