UMW Toyota melepasi rekod 100,000 unit jualan buat tahun ketiga berturut-turut | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota melepasi rekod 100,000 unit jualan buat tahun ketiga berturut-turut

Hilux menjadi antara penyumbang jualan tertinggi kepada Toyota pada 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 7 Jan - UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menutup tahun 2024 dengan momentum jualan yang kukuh, merekodkan lebih 12,800 unit terjual pada Disember 2024, menjadikan jumlah keseluruhan unit terjual melebihi 102,300 unit.

 

Rekod itu juga menjadikan 2024 sebagai tahun ketiga berturut-turut UMWT melepasi sasaran 100,000 unit dalam tempoh setahun, satu pencapaian penting yang belum pernah dicapai sebelum ini oleh syarikat tersebut.

 

Prestasi kukuh berkenaan menunjukkan daya tarikan berterusan Toyota di pasaran automotif Malaysia, yang dipacu oleh permintaan pengguna untuk kenderaan yang menawarkan kecekapan, kebolehpercayaan dan ciri keselamatan canggih.

 

UMWT juga merekodkan 1.42 juta pelanggan yang kembali untuk perkhidmatan selepas jualan pada 2024, memperlihatkan komitmen Toyota dalam memberi keutamaan kepada inovasi, kualiti dan kepuasan pelanggan.

 

Sebagai jenama yang menjadi sebahagian penting dalam landskap automotif Malaysia selama beberapa dekad, Toyota terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pengangkutan negara melalui Pendekatan Pelbagai Laluan. 

 

Dengan menawarkan pelbagai jenis kenderaan, Toyota memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang sambil menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan lestari. 

 

Strategi itu, digabungkan dengan komitmen Toyota terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan inovasi, telah mendorong populariti berterusan model-model seperti Hilux, Vios dan Corolla Cross, yang tidak mengejutkan menjadi penyumbang utama kepada prestasi jualan Disember lalu.

 

Meneruskan momentum kukuh 2024 pada 2025, UMWT tetap komited untuk mencapai kecemerlangan dengan memastikan tawaran terbaik untuk pelanggan dan pihak berkepentingan serta tetap teguh untuk mencerminkan dedikasi dalam memacu perubahan positif dalam landskap automotif sebagai warganegara korporat. - DagangNews.com