KUALA LUMPUR 30 Okt - Tasco Berhad mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM13.4 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) yang menaikkan jumlah 1HFY25 kepada RM24.7 juta.
MIDF Research berkata, walaupun keuntungan itu menyumbang 38% daripada anggaran tahun penuhnya, mereka menganggap ia di bawah jangkaan akibat prestasi perniagaan domestik yang lemah.
Bagi prestasi suku ke suku, firma penyelidikan itu berkata, Tasco mencatat peningkatan sebayak 8.1% pada 2QFY24 didorong oleh peningkatan dalam penghantaran pengangkutan udara dan laut.
"Ini membantu mengimbangi kelemahan dalam bahagian logistik kontrak, yang terjejas akibat penurunan penghantaran daripada pelanggan panel solar utama yang terjejas oleh sekatan Amerika Syarikat (AS).
"Bahagian rantaian bekalan sejuk (CSC) juga mengalami hasil yang lebih lemah akibat boikot terhadap Israel yang berterusan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
MIDF Research juga melaporkan margin untung kasar pengangkutan udara dan laut bertambah baik didorong oleh harga tender yang lebih tinggi berbanding kos pembelian.
"Bagaimanapun, keseluruhan teras untung bersih merosot berikutan pengurangan elaun cukai pelaburan (ITA)," katanya.
Bagaimanapun, firma itu kekal optimistik terhadap perniagaan pergudangan Tasco memandangkan permintaan kukuh dan peningkatan kapasiti menyediakan peluang jualan perkhidmatan pengangkutan.
"Tasco juga telah bermula mengembangkan Pusat Logistik Shah Alam (SALC) yang dijangka siap pada 2026.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Tasco dengan harga sasaran (TP) RM1.20," katanya.- DagangNews.com