IHH Healthcare Bhd melengkapkan pengambilalihan Prince Court Medical Centre bernilai RM1.02 bilion dari Khazanah Nasional Bhd, pada September tahun lalu.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kenanga Investment Bank Research menyemak turun saranan IHH Healthcare Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini memandangkan harga sahamnya yang melebihi prestasi.
Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, harga saham IHH telah melonjak sehingga 31% selepas firma itu menyemak naik sarananannya berikutan prestasi kewangan suku keempat dan kini menawarkan kenaikan yang terhad kepada harga sasaran.
"Kenaikan ini secara dasarnya dipengaruhi jangkaan yang IHH akan merekodkan pendapatan yang kukuh pada tahun kewangan 2022.
"Ini didorong menerusi kedua-dua operasinya di India dan Acibadem yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan, apabila merekodkan keuntungan bagi 3 suku berturut-turut pada suku kedua 2021," katanya dalam nota kajian mengenai sektor penjagaan kesihatan yang diterbitkan hari ini.
Firma itu mendapati, bagaimanapun mendapati intensi pendapatan adalah kukuh dengan pendapatan bagi kemasukan setiap pesakit di Malaysia (meningkat 30%), India (30%), Acibadem (27%) dan Singapura (2%) kerana lebih banyak menjalankan kes-kes yang rumit.
Sementara itu, Ping Khoon berkata, penilaian semasa Pharmaniaga Bhd. dilihat tidak menarik, yang nampaknya melebihi prospek jangka pendek yang positif.
Kumpulan telah selesai membuat penghantaran terakhir bagi bekalan vaksin COVID-19 berjumlah 12.4 juta dos kepada kerajaan pada 21 Julai lalu. Ia turut membekalkan tambahan 2 juta dos kepada kerajaan pada akhir bulan tersebut.
Pada Ogos pula, kumpulan memperoleh kontrak pembelian tambahan 6 juta dos vaksin bagi fill and finish dan vaksin COVID-19 yang diimport untuk dibekalkan kepada kerajaan.
"Oleh itu, pengedaran vaksin Sinovac ini dijangka memberi impak kepada pendapatan kumpulan pada separuh kedua 2021 dan seterusnya, tetapi masih belum jelas sejauh mana kesannya kepada keuntungan Pharmaniaga, dan kerajaan juga mahu melihat ia diagihkan dengan harga yang paling kompetitif.
"Ini menjadikan saham ini mempunyai pertumbuhan pendapatan yang kurang jelas disebabkan ketidaktentuan kepada pendapatannya yang berasaskan vaksin.
"Walaupun telah mengambil kira lanjutan konsesi menjangkaui Disember 2021 untuk membekalkan bekalan ubat dan alatan perubatan bagi perolehan ubat-ubatan, sahamnya diniagakan dengan penilaian tinggi sebanyak 18x dan 21x masing-masing bagi tahun kewangan 2021 dan 2022," jelasnya.
Dalam pada itu, mengenai KPJ Healthcare Bhd., Ping Khoon berkata, ia kurang pemangkin penilaian semula dan hospital baharu akan terus mengheret pendapatan kumpulan.
"Kumpulan akan terus mengambil peluang daripada insentif kerajaan dalam menangani kesan pandemik COVID-19.
"Bagaimanapun, rangkaian hospital barunya seperti KPJ Bandar Dato’ Onn, KPJ Batu Pahat, KPJ Perlis dan KPJ Miri yang di bawah tempoh pembangunan akan terus mengheret keseluruhan pendapatan," katanya.
Secara keseluruhan, Kenanga Research memberi penarafan 'outperform' kepada Pharmaniaga dengan harga sasaran 54 sen diikuti KPJ (market perform, harga sasaran RM1.03) dan IHH (market perform, harga sasaran RM6.65). -DagangNews.com