'Tesla Thailand' jalin kerjasama bagi pelaburan besar ke atas CFM | DagangNews Skip to main content

'Tesla Thailand' jalin kerjasama bagi pelaburan besar ke atas CFM

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFMB) dan peneraju teknologi tenaga boleh diperbaharui (RE) dari Thailand, Energy Absolute Public Company Limited (EA) menandatangani perjanjian untuk membentuk syarikat kerjasama bagi menyediakan penyelesaian mobiliti hijau.

 

Menerusi perjanjian itu, syarikat baharu yang dibentuk itu akan memaksimumkan peluang dalam pengeluaran selain pengedaran kenderaan elektrik (EV) seperti EV-bas, EV-kereta, EV-kereta api, EV-basikal dan EV-bot dengan Energy Absolute PCL mempunyai sumber yang kukuh dan keupayaan terbukti di Thailand.
 

Syarikat itu dijangka melabur pada anggaran RM5 bilion secara berperingkat ke dalam usaha itu termasuk membangunkan platform penyimpanan dan pengecasan tenaga serta mengeluarkan bateri litium-ion bagi menyokong ekosistem EV di Malaysia.

 

Selain itu, syarikat itu juga akan memulakan beberapa projek RE seperti solar dan angin untuk mempercepatkan mandat penukaran tenaga Malaysia berdasarkan Perjanjian Paris 2015 (COP21).

 

Pengarah Urusan CFMB, Datuk Justin Lim berkata, kerjasama itu akan mencerminkan keupayaan kerjasama kukuh bersama Energy Absolute PCL dalam menyokong rancangan kepelbagaian syarikat untuk memacu pertumbuhan perniagaan dalam sektor EV dan RE.

 

Beliau menjangkakan, kerjasama itu akan menghasilkan pulangan yang kompetitif kerana usaha menghijaukan sistem pengangkutan awam Malaysia sejajar rancangan nasional untuk mengurangkan jejak karbon.

 

CFM

 

"Kerjasama itu bertujuan membawa masuk bas EV, kereta EV, kereta api EV basikal EV dan bot EV untuk mengubah secara radikal infrastruktur pengangkutan awam Malaysia dalam jangka sederhana.

 

"Syarikat itu akan melancarkan rancangan untuk menghasilkan bateri Litium-Ion dan melabur dalam Sistem Penyimpanan Tenaga (ESS) dan stesen pengecasan untuk menyokong ekosistem EV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, ketegangan geopolitik, maslaah rantaian bekalan dan peningkatan inflasi memberi tekanan baharu ke atas pasaran Asia untuk mempercepatkan dan membentuk semula peralihan tenaga.

 

Beliau berkata, dengan usaha Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon Sifar Bersih menjelang 2050, ia memerlukan kepakaran asing dalam bagi mempercepatkan usaha penghijauan industri kenderaan dan tenaga dengan penyelesaian yang inovatif.

 

"Sektor awam dan swasta perlu melakukan transformasi dengan pantas untuk memastikan infrastruktur teknologi yang betul disediakan bagi mencapai prestasi yang menguntungkan sambil melakukan transformasi dengan amalan mesra alam sekitar yang mampan.

 

"Semua ekosistem perindustrian mesti disepadukan sepenuhnya untuk mengurangkan jejak karbon negara kita secara amnya," katanya. - DagangNews.com