Tetapkan harga siling pemvaksinan Sinovac, cadang PAC | DagangNews Skip to main content

Tetapkan harga siling pemvaksinan Sinovac, cadang PAC

pemvaksinan Sinovac

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerajaan dicadangkan supaya menetapkan harga siling bagi pemvaksinan COVID-19 apabila vaksin Sinovac dijual kepada rakyat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, penetapan harga siling berkenaan meliputi harga vaksin oleh Pharmaniaga serta kos yang dikenakan oleh klinik atau hospital swasta adalah amat perlu supaya harga pemvaksinan adalah pada tahap wajar dan tidak membebankan rakyat.

 

"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin COVID-19 di pasaran terbuka bermula pada Ogos depan dan adalah penting supaya harga siling untuk pemvaksinan berkenaan ditetapkan dan diumumkan kepada rakyat dengan segera.

 

"Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan COVID-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya," jelas PAC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas berkaitan prosiding perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaanya terhadap rakyat Malaysia, beliau memberitahu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah hadir di hadapan jawatankuasa tersebut untuk kali kedua hari ini.

 

Jelasnya, prosiding berkenaan yang bermula pada pukul 10.30 pagi hingga pukul 1 petang.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan KSU MOSTI, Dr. Mohd Noor Azman Hassan.

 

Tambah beliau lagi, PAC akan meneruskan prosiding berhubung isu berkenaan pada esok dengan memanggil Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

"Manakala pada minggu hadapan, Menteri Kesihatanm Datuk Seri Dr. Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisyam Abdullah akan hadir di hadapan PAC bagi memberikan keterangan berhubung prosiding yang sama," jelas beliau lagi. - DagangNews.com