TH Plantations perlu lebih banyak data serta pendedahan bagi meningkatkan keuntungan dan memenuhi matlamat kemampanan | DagangNews Skip to main content

TH Plantations perlu lebih banyak data serta pendedahan bagi meningkatkan keuntungan dan memenuhi matlamat kemampanan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - TH Plantations Bhd perlu mengumpul lebih banyak data selain mendapatkan pendedahan ke arah memenuhi matlamat kemampanan selain keutamannya untuk meningkatkan keuntungan serta menurunkan penggearan kumpulan.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, mereka telah bergelut dengan perubahan di peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanannya sejak beberapa tahun lalu, menimbulkan cabaran kepada kemajuan kemampanannya.

 

Selain itu, tumpuan TH Plantations sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah kepada mengurangkan hutang memandangkan hutang bersihnya yang besar sebanyak RM822 juta dan RM300 juta lagi dalam sukuk kekal (pada 31 Disember 2023).

 

"Kumpulan itu telah memperuntukkan lebih daripada RM700 juta nilai asetnya untuk dijual bagi mengurangkan hutangnya tetapi tidak banyak membuahkan hasil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, TH Plantations bukan ahli Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) tetapi operasinya di Malaysia adalah 100% diperakui Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

 

Katanya, ia mempunyai dasar minyak sawit mampan yang diumumkan pada tahun 2020 yang secara amnya menjejaki peneraju industri, dengan komitmen mengenai 'Tiada Penebangan Hutan, Gambut dan Eksploitasi (NDPE)'.

 

Maybank IB menyedari bahawa kumpulan itu telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menjadikan perniagaannya mesra amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Antara pendekatan yang diambil termasuk melengkapkan kilangnya dengan loji biogas, pemasangan panel solar, penggunaan semula sisia biojisim dan mereka juga telah memulakan projek pemuliharaan hutan yang merosot di Johor bagi tempoh tujuh tahun bermula 2022 hingga 2029," katanya.

 

Memandangkan kekurangan pemangkin, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 58 sen sesaham. - DagangNews.com