Thailand miliki kapal tentera laut terbesar di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Thailand miliki kapal tentera laut terbesar di Asia Tenggara

Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

THAILAND meletakkan kedudukannya sebagai pemilik kapal tentera laut terbesar di rantau Asia Tenggara apabila menerima kapal sokongan logistik terbarunya, HTMS Chang (792).

 

Kapal berkenaan dilancarkan secara rasmi di limbungan syarikat perkapalan Hudong-Zhonghua dekat Shanghai, China pada Rabu lepas.

 

Ia dibina berasaskan kapal Type 071 LPD milik Tentera Laut China. 

 

China mempunyai lapan buah kapal LPD jenis ini bagi memperkasakan keupayaan mobiliti dan logistik tentera lautnya.

 

Perolehan kapal ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan 20 tahun Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) untuk mengoperasikan empat buah kapal sokongan logistik menjelang tahun 2036.


 

chang
HTMS Chang dibina di limbungan syarikat perkapalan Hudong-Zhonghua dekat Shanghai, China

 


Kapal-kapal ini bagi kegunaan pelbagai seperti menyokong operasi amfibia, operasi mencari dan menyelamat, misi bantuan kemanusiaan dan juga operasi antipengganas.

 

Ini merupakan kapal sokongan logistik keempat milik Thailand selepas HTMS Sichang (721), HTMS Surin (722) dan HTMS Angthong (791).

 

Dua kapal pertama ini merupakan binaan tempatan berasakan kapal pendarat kelas Normed PS 700.

 

HTMS Angthong pula dibina oleh firma Singapore Technologies Marine berasaskan kapal LPD kelas Endurance milik negara tersebut dan digunakan sejak tahun 2012.

 

HTMS Chang dengan panjang 213 meter (m), lebar 28m dan berat 20,000 tan mampu belayar pada kelajuan 25 knot dengan jarak sejauh 10,000 batu nautika.


 

chang

 


Kontrak pembelian kapal ini dimeterai pada September 2019 dengan kos AS$200 juta yang juga merupakan pembeli antarabangsa pertama Type 071E.

 

Perolehan ini dilihat sebagai kejayaan besar dalam industri maritim ketenteraan China selain mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan strategik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.

 

Industri perkapalan China juga mempamerkan mutu kerja yang memberangsangkan apabila mengambil masa tiga tahun sahaja untuk menyiapkan kapal termasuk melepasi ujian laut.

 

Berdasarkan ujian-ujian tersebut, dikatakan pihak Thailand berpuas hati dengan progres pembinaan kapal ini.

 

HTMS Chang boleh membawa antara 600 hingga 800 tentera manakala geladak penerbangannya dapat mengendalikan empat buah helikopter pengangkut saiz sederhana.

 

Ruang dalam geladak kapal pula boleh memuatkan empat buah lancang pendarat termasuk kenderaan armor atau kereta kebal.

 

Bagi pertahanan pula, HTMS Chang dilengkapi selaras meriam kaliber 75 milimeter (mm), empat meriam 30mm dan pelancar suar antiserangan kapal.


 

chang
HTMS Chang dibina berasaskan kapal pendarat kelas Normed PS 700 tentera laut China.

 


Sebenarnya tidaklah menghairankan apabila melihat Thailand sangat bercita-cita dalam membangunkan aset-aset tentera laut.

 

Sebagai sebuah negara yang mempunyai wilayah perairan yang luas, Thailand sama seperti negara-negara jiran serantau yang meletakkan kepentingan pada keselamatan maritim.

 

Pemilikan HTMS Chang juga sebenarnya mengulangi kemegahan sama 25 tahun lalu apabila negara gajah putih ini memiliki kapal HTMS Chakri Naruebet (911).

 

HTMS Chakri Naruebet seberat 11,000 tan merupakan kapal pengangkut pesawat yang dibina firma perkapalan Sepanyol, Bazan berasaskan kapal kelas Príncipe de Asturias.


 

HTMS Chakri Naruebet
HTMS Chakri Naruebet

 


Ia merupakan pembelian angkatan laut paling mewah di rantau ini apabila buat pertama kali sebuah negara memiliki kapal pengangkut pesawat dengan harga sekitar AS$285 juta.

 

Bagaimana pun, disebabkan kos pengoperasian yang besar selain kegawatan ekonomi serantau masa itu menyebabkan kapal ini tidak kerap belayar dalam tempoh beberapa tahun.

 

HTMS Chakri Naruebet walaupun merupakan kapal pengangkut pesawat tetapi ia lebih banyak melaksanakan operasi amfibia dan tugas-tugas selain ketenteraan termasuk misi bantuan kemanusiaan.


 

Type 071 LPD
Kapal tentera laut China Type 071 LPD

 


Difahamkan China turut menawarkan kapal jenis Type 071 LPD ini kepada Malaysia sebagai calon kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Sudah pasti jika ia menjadi aset negara, kapal jenis ini dapat menggandakan kemampuan TLDM apatah lagi hajat untuk memiliki MRSS sudah terpendam lama.

 

Jika kantung negara tidak mencukupi, kita boleh memilih kapal bersaiz lebih kecil dengan fungsi sama tetapi seelok-eloknya hendaklah dibina di luar negara.


 

KD Mahawangsa
KD Mahawangsa yang berusia 40 tahun sepatutnya diganti dengan kapal MRSS lebih moden.

 


Dua kapal MRSS sedia ada iaitu KD Mahawangsa dan KD Sri Inderasakti yang berusia 40 tahun sepatutnya telah lama diganti. - DagangNews.com

 

BERITA BERKAITAN: Kapal lama tentera laut perlu diganti - titah Raja Selangor