Theta Edge sasar sumbangkan 1,000 komputer untuk pelbagai pihak di seluruh negara pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Theta Edge sasar sumbangkan 1,000 komputer untuk pelbagai pihak di seluruh negara pada tahun ini

26 sekolah seliaan JPNT, tiga pusat komuniti seliaan JAKOA Terengganu dan tiga madrasah seliaan TH Terengganu hadir di majlis penyerahan sumbangan komputer oleh Theta di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu. - Gambar DagangNews2023
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 13 Feb - Prihatin dengan kepentingan teknologi dalam bidang pendidikan negara, Theta Edge Berhad, sebuah syarikat perintis dalam penyediaan perkhidmatan komunikasi dan teknologi (ICT) & telekomunikasi menyasarkan mahu menyumbang 1,000 unit komputer kepada pihak memerlukan pada tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge, Nuraslina Zainal Abidin berkata, buat permulaan, sebanyak 65 komputer telah diagihkan di Terengganu hari ini melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan Theta yang dinamakan #thetaCares.

 

Menurutnya, komputer tersebut disumbangkan kepada 26 buah sekolah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu, tiga pusat komuniti seliaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu dan tiga madrasah seliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di negeri itu.  


 
"Sumbangan kami juga akan disertakan dengan pemasangan Microsoft Windows 10, LibreOffice, webcam serta penyediaan wifi adapter.  

 

"Sumbangan 1,000 unit komputer ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat ke seluruh negara hingga Oktober depan," katanya.

 

 

Nuraslina Zainal Abidin
                               Nuraslina Zainal Abidin

 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian penyerahan 65 komputer itu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPNT, Kasman Embong di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2 di sini hari ini.

 

Turut hadir Pengurus (TH) Cawangan Kuala Terengganu, Roszailizan Awang dan Pegawai JAKOA Terengganu, Razali Ali serta guru besar sekolah-sekolah dan pengetua maahad tahfiz yang menerima sumbangan tersebut.

 

 

sekolah

 

sekolah
Pemilihan sekolah yang menerima sumbangan daripada Theta dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu

 

 

Mengulas lanjut, Nuraslina berkata, sehingga hari ini, Theta telah menyumbang sebanyak 120 unit yang merangkumi desktop dan komputer riba di sekitar daerah negeri Terengganu. 


 
"Pada tahun 2022 pula, kami telah menyalurkan sebanyak 720 desktop dan komputer riba ke seluruh semenanjung Malaysia. Semoga semua ini akan memberi manafaat dan memberi impak dalam melahirkan komuniti yang celik digital.

 

"Pada awal tahun lalu, salah sebuah anak syarikat kami, Theta Telecoms Sdn Bhd telah diberikan mandat dalam projek pembinaan struktur menara telekomunikasi di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

 

"Selain itu, pada Ogos lepas, salah sebuah menara telekomunikasi kami di Kampung Bharu Tok Dor, Jerteh telah pun menjadi menara yang pertama di antara 1,661 menara telekomunikasi di Semenanjung Malaysia siap dibina. 

 

"Alhamdulillah kini, penduduk di sekitarnya sudahpun mendapat manfaat akan penaiktarafan landskap telekomunikasi itu.

 

"Begitu juga dengan beberapa kawasan yang lain di sekitar Terengganu iaitu di Kampung Padang Limau Nipis, Alor Limbat, beberapa kawasan lain dan insya-Allah, sebuah lagi menara bakal dibina di Pulau Tenggol, Dungun," katanya.

 

 

sekolah

 

parafrasa

 

 

Tambahnya lagi kesemua inisiatif tersebut adalah selaras hasrat syarikat untuk membawa manfaat, idea dan inovasi dalam membentuk masa hadapan yang lebih baik buat semua, seiring dengan motto Theta, Bersama Kita Membina Kehidupan Mampan Buat Semua.  

 

"Saya akui, biarpun kita di era dalam mengetengahkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian, tidak dinafikan masih ramai yang tercicir dalam pembudayaan pengintegrasian teknologi terutamanya dalam arus pendidikan.  

 

"Biarpun kami bukanlah golongan pendidik yang mencurahkan ilmu dan mencorak anak bangsa secara literalnya, namun, sebagai salah sebuah syarikat perintis teknologi di Malaysia yang telah beroperasi selama 30 tahun, inilah inisiatif kami dalam melahirkan modal insan yang celik digital dan mampu menyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi komuniti suatu hari nanti," katanya. - DagangNews.com