Tiada ekonomi negara maju amalkan moratorium automatik - EMIR Research | DagangNews Skip to main content

Tiada ekonomi negara maju amalkan moratorium automatik - EMIR Research

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Memberi moratorium secara automatik kepada semua rakyat termasuk mereka yang mampu membayar pinjaman dilihat tidak adil dan sama seperti mendorong mereka untuk ‘melepaskan diri’ daripada kewajipan masing-masing. 

 

Itulah sebabnya tiada negara di dunia yang memperkenalkan moratorium automatik ketika krisis pandemik COVID-19 kecuali Malaysia, menurut Pengarah, Media dan Komunikasi organisasi pemikir bebas, EMIR Research, Jamari Mohtar.

 

Beliau bagaimanapun tidak menolak pelaksanaan moratorium semasa tempoh mencabar ini, namun sebaliknya menggesa langkah moratorium yang bersasar untuk rakyat dan perniagaan yang terus menghadapi kesulitan membayar balik pinjaman mereka.

 

“Itulah sebabnya EMIR Research sebelum ini telah menyarankan agar moratorium tiga bulan atau pembayaran pinjaman berkurang 50% dalam tempoh enam bulan diberi dan disasarkan untuk mereka yang benar-benar memerlukan, menyusuli pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh (FMCO).

 

Jamari Mohtar
Jamari Mohtar

 

“Ini adalah cara yang bijak dilihat dari cara negara maju menawarkan moratorium kepada warga dan perniagaan mereka. Sejak hari pertama pandemik, negara-negara ini telah menawarkan moratorium selektif atau bersasar kepada warga dan perniagaan mereka selama enam bulan, yang kemudian dilanjutkan hingga Disember tahun lalu. 

 

“Oleh itu, apa yang sedang dilakukan kerajaan sekarang ini dengan membenarkan moratorium bersasar tiga bulan atau mengurangkan pembayaran pinjaman selama enam bulan di bawah FMCO kini, dan bukannya moratorium automatik adalah selaras dengan apa yang sedang dilakukan oleh ekonomi dunia pertama,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelbagai pihak mula mendesak supaya moratorium automatik kembali dilaksanakan susulan kes penularan COVID-19 di Malaysia kian meningkat sehingga pernah mencecah paras lebih 9,000 angka jangkitan harian.

 

Ini termasuk 400 gabungan yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan Dewan Perniagaan membabitkan hampir sejuta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini yang menggesa supaya kerajaan melaksanakan semula moratorium secara menyeluruh (blanket) sekurang-kurangnya selama enam bulan. 

 

Baca : Gabungan kesatuan gesa moratorium menyeluruh, tolak bantuan bersasar

 

Tampil menyelar desakan beberapa pihak, Jamari menegaskan bahawa mereka yang menyarankan agar kerajaan memaksa bank memberikan moratorium automatik kepada peminjam tidak menyedari bahaya cadangan tersebut.

 

Katanya, dalam perbankan moden, pelaksanaan dasar kewangan adalah penting yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan semua bank di bawahnya, mesti dilakukan secara bebas daripada kerajaan.

 

Meminta kerajaan untuk memaksakan peraturan kewangan dan perbankan ke atas bank akan dilihat seperti kerajaan mencampuri pengurusan dasar kewangan negara di bawah BNM, dan pasaran kewangan akan memberi reaksi teruk, seterusnya menjejaskan prestasi ekonomi negara, tegas beliau.

 

“Oleh kerana dunia wang dan perbankan bersifat global, pasaran di sini tidak hanya merujuk kepada pasaran kewangan di Malaysia, malah pasaran kewangan global. Lihat saja Presiden Erdogan dari Turki yang menyingkirkan gabenor bank pusatnya, Naci Agbal pada Mac – yang ketiga dipecat dalam dua tahun – hanya kerana Agbal seperti juga dua pendahulunya telah menaikkan kadar faedah demi menangani kenaikan inflasi yang meruncing. 

 

“Ini bertentangan dengan pendekatan Erdogan yang mahukan kadar faedah rendah untuk mengelakkan inflasi. Akibatnya, mata wang lira turun dengan ligatnya yang kemudiannya menjejaskan dengan teruk kepercayaan pelabur pada saat genting bagi ekonomi Turki dan mempercepat kenaikan kadar inflasi yang sudah berleluasa, yang mungkin akan memaksa pemerintah Turki untuk menggunakan kawalan modal atau kenaikan kecemasan dalam kadar faedah,” ujar beliau lanjut. 

 

Memetik tinjauan dalam talian yang dilakukan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dari April hingga Mei tahun lalu, Jamari menjelaskan bahawa 12% peminjam memilih untuk tidak mengikuti moratorium automatik.

 

Hanya 21% pula yang menerima moratorium membelanjakannya untuk keperluan asas harian, sementara 48% lagi membina dana kecemasan, 16% untuk tujuan pelaburan, 11% untuk pinjaman selanjutnya dan 4% tidak mempunyai rancangan.

 

Kerajaan, setelah menyedari kesilapannya, dengan tegas menolak untuk memperkenalkan semula moratorium automatik, dan ini adalah perkara yang betul dan bijak, ujar Jamari lanjut. - DagangNews.com