Tiada parti raih majoriti mudah kerusi Parlimen pada PRU15 - Pengerusi SPR | DagangNews Skip to main content

Tiada parti raih majoriti mudah kerusi Parlimen pada PRU15 - Pengerusi SPR

Tan Sri Abdul Ghani Salleh

PUTRAJAYA 20 Nov - Tiada mana-mana parti memperoleh 50% daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

 

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

 

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

 

Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).

 

Abdul Ghani ketika sidang media berhubung keputusan PRU15 berkata tiga bahagian Parlimen tidak diumumkan iaitu Kota Marudu di Sabah dan Baram di Sarawak yang ditangguh berikutan masalah cuaca.

 

Pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah pula ditangguh ekoran kematian calon PH M.Karupaiya pada Rabu.

 

Selain itu, beliau berkata, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, daripada 41 kerusi dipertandingkan, PN menguasai 17 kerusi, diikuti BN (16) dan PH (lapan) dengan kerusi DUN Tioman tidak dipertandingkan berikutan kematian seorang calon.

 

"Tiada mana-mana parti yang memperoleh 50 peratus daripada jumlah kerusi dipertandingkan dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 70.48%," katanya.

 

Sementara itu Abdul Ghani berkata, bagi DUN Perak yang mempertandingkan 59 kerusi, tiada mana-mana parti yang memperoleh suatu majoriti melebihi 50%.

 

"PN memperoleh 26 kerusi, PH (24) dan BN (sembilan). Peratusan keluar mengundi sebanyak 66.71%," katanya. - DagangNews.com