Tiada pengeluaran ASN besar-besaran ketika COVID-19, kata Zeti Aziz | DagangNews Skip to main content

Tiada pengeluaran ASN besar-besaran ketika COVID-19, kata Zeti Aziz

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) melihat terdapat pengeluaran pelaburan saham amanah oleh pemegang unit ketika penularan COVID-19, tetapi jumlahnya tidak ketara dan masih stabil.

 

“Ketika ini, kami melihat jumlahnya masih stabil dan tiada pengeluaran besar-besaran. 

 

“Dari, semasa ke semasa ya (ada pengeluaran), tetapi ia kekal stabil bagi kami,” kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar secara maya bersempena pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) hari ini. 

 

MSD telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan turut hadir, Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

 

Walaupun keadaan ekonomi meruncing disebabkan COVID-19, namun PNB tidak melihat perubahan dari segi trend pelaburan, kata Ahmad Zulqarnain.

 

Dalam pada itu, PNB akan meneruskan hasrat untuk meningkatkan portfolio pelaburan ke luar negara yang merupakan sebahagian objektif kumpulan itu untuk mempelbagaikan pelaburan. 

 

Namun, langkah itu akan dilakukan dengan penilaian ketat melibatkan pelbagai peringkat sebelum ditambah ke dalam senarai pelaburan mereka.

 

“PNB akan mempelbagaikan portfolio pelaburan ke dalam pasaran kewangan, tetapi melakukannya dengan penuh tanggungjawab dan berperingkat serta berhati-hati. 

 

“Kami mengambil kira keadaan pasaran yang tidak menentu, propek melibatkan pelaburan serta sektor industri (yang dipilih),” tambah Zeti. 

 

Sebelum ini, PNB merancang untuk meningkatkan sehingga 30% pelaburan di luar negara menjelang 2022 daripada kadar 8.5% setakat 5 Mei lalu, lapor media yang memetik kenyataan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Abdul Jalil Abdul Rasheed.

 

Setakat ini, PNB mempunyai lebih 14 juta pemegang unit dan telah menguruskan sehingga RM314 bilion aset. - DagangNews.com