Tiada siapa akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan negara - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Tiada siapa akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan negara - Muhyiddin

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 April – Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan dan pembangunan di Malaysia.

 

“Ini termasuklah masyarakat India di negara ini walau apa jua taraf hidup anda dan di mana jua anda berada. We will take care of you. This is our pledge to you.

 

“Langkah kita kehadapan ini ialah memastikan matlamat mewujudkan perkongsian kemakmuran negara yang adil dan saksama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai.

 

“Saya percaya WKB 2030 akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat India di negara ini. No one will be left behind,” kata Muhyiddin semasa menyampaikan ucaptama secara maya pada Perhimpunan Agung MIC Kebangsaan kali ke-74 di sini hari ini.

 

Muhyiddin yakin dengan usaha-usaha yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan para frontliners dalam membendung wabak COVID-19 dan perkembangan positif pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, negara akan dapat keluar daripada situasi pandemik ini dalam sedikit masa lagi.

 

“Petunjuk ekonomi negara kita juga semakin positif dengan unjuran ekonomi negara akan berkembang pada kadar 6% dan 7.5% pada tahun ini.

 

“Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, saya percaya nasib masyarakat India juga dapat terus dibela dengan lebih banyak peluang dapat disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masayarakat India di negara ini,” kata Perdana Menteri.

 

Dalam Belanjawan 2021 kata beliau, peruntukan sebanyak RM100 juta telah disediakan kepada MITRA untuk membantu golongan B40 dan memperkasa bidang pendidikan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat India.

 

“Selain itu, masyarakat India juga layak menerima bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai bantuan prihatin rakyat di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

 

Beliau berkata, tumpuan kerajaan pada masa ini ialah untuk memerangi COVID-19, memastikan rakyat mendapat suntikan vaksin dan memulihkan ekonomi negara.

 

“Kita tidak boleh diganggu-gugat oleh perkara-perkara lain yang menyebabkan politik tidak stabil, negara terumbang-ambing dan kebajikan rakyat terabai,” katanya. – DagangNews.com