Tiba Masanya Syarat Pensijilan Halal Dimasukkan Kriteria Mesra Alam Sekitar | DagangNews Skip to main content

Tiba Masanya Syarat Pensijilan Halal Dimasukkan Kriteria Mesra Alam Sekitar


KUALA LUMPUR 18 Mac - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama gabungan NGO antarabangsa sering memandang berat situasi perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing di dunia.

 

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, situasi itu mendesak tindakan konkrit dilaksanakan semua pihak yang perlu sentiasa mengambil inisiatif untuk memelihara kualiti alam sekitar.

 

Antara yang sedang digerakkan pada peringkat akar umbi termasuklah usaha ABIM atas platform Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICCN) meluncurkan kempen "Memusnahkan Alam Berlawanan Dengan Agama Saya".

 

Beliau yang juga penyelaras MICCN berkata, kempen ini adalah medan untuk mendidik masyarakat beragama memelihara alam sekitar.

 

Sebagai kesinambungan daripada kempen ini, ABIM menyarankan pihak berkuasa di Malaysia seperti Jabatan Agama Islam dan badan-badan bertauliah seluruh dunia untuk memasukkan elemen mesra alam sekitar sebagai antara kriteria syarat kepada pensijilan halal.

 

"Tindakan ini secara tidak langsung akan meluaskan lagi makna "halal dan baik" yang lebih dikenali sebagai halalan toyyiban dengan mewujudkan rasa cakna atau kepekaan masyarakat terhadap usaha memelihara kelestarian serta masa depan bumi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sebagai lanjutan, inisiatif ini akan dapat menjamin kelestarian sumber makanan yang halal dan baik bila mana bumi dan hasilnya dapat dipelihara sebaiknya dari dimusnahkan oleh aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab.

 

Selain itu ujarnya, ia juga akan menjadi asas permulaan untuk mendidik sikap masyarakat khususnya golongan Muslim untuk memandang serius perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar lebih-lebih lagi dalam bidang kepenggunaan.

 

Menurutnya, cadangan ini selari dengan Prinsip ke-17 Matlamat Pembangunan Mapan (Sustainable Development Growth) bagi menggalakkan lagi kerjasama untuk membangunkan industri yang menyokong usaha pembangunan lestari dan pemeliharaan alam sekitar.

 

"ABIM amat optimistik, Malaysia sebagai pusat hub halal untuk dunia boleh menjadi perintis penting dalam membawa piawaian halal dunia yang lebih baik bersama semangat menjaga kelestarian alam.

 

"ABIM menegaskan inisiatif ini adalah salah satu agenda besar untuk memenuhi tanggungjawab kita sebagai Khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini untuk perkongsian secara inklusif manfaatnya untuk seluruh manusia sejagat," ujarnya. - DagangNews.com