Tindakan boikot McDonald's, Starbucks dijangka menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran - TA Research | DagangNews Skip to main content

Tindakan boikot McDonald's, Starbucks dijangka menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran - TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Tindakan sebahagian rakyat Malaysia memboikot perniagaan yang didakwa mempunyai hubungan langsung dengan Israel seperti McDonald's dan Starbucks dijangka menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran terutama dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah.

 

TA Research berkata, adalah penting bagi melihat implikasi negatif terhadap ekonomi dan pasaran tenaga kerja Malaysia yang hadir daripada tindakan itu kerana ia mungkin berfungsi sebagai usaha menyuarakan penentangan terhadap kekejaman yang sedang berlaku. 

 

Katanya, pada masa sama, semua pihak harus mempertimbangkan dengan teliti kesan negatif terhadap perniagaan tempatan, pekerjaan dan kestabilan ekonomi.

 

"Jika sebilangan besar rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam memboikot perniagaan yang mempunyai hubungan Israel, ia sememangnya boleh membawa kepada penurunan dalam jualan dan hasil bagi syarikat seperti McDonald's, Starbucks, dan Grab.

 

starbuck

 

"Tindakan boikot itu  boleh menjejaskan perniagaan tempatan ini yang bergantung kepada pendapatan yang dijana daripada kontrak mereka dengan syarikat multinasional ini. Dari segi pekerjaan, syarikat-syarikat ini menawarkan pekerjaan kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.

 

"Boikot boleh mengakibatkan pemberhentian dan kehilangan pekerjaan, yang boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran, terutamanya dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Jumlah penganggur terus menurun kepada 573,700 orang pada September 2023 – DOSM

 

Terdahulu, kedudukan tenaga kerja negara pada September 2023 kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan peningkatan kecil dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

 

Bilangan tenaga kerja terus bertambah pada September 2023, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.95 juta orang, mencatatkan kadar penyertaan tenaga kerja 70.1%, seperti yang direkodkan bulan lalu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan dalam jualan boleh memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan syarikat berkenaan dan berpotensi mengurangkan sumbangan cukai kepada kerajaan.

 

Selain itu, syarikat global ini juga bergantung kepada pembekal tempatan yang menyediakan pelbagai barangan dan perkhidmatan, termasuk produk pertanian, pembungkusan dan penyelenggaraan.

 

"Oleh itu, adalah penting untuk mendekati keputusan ini dengan pertimbangan yang teliti dan meneroka jalan alternatif untuk menangani kebimbangan politik yang tidak mempunyai kesan negatif yang ketara terhadap ekonomi dan tenaga kerja tempatan," katanya.

 

Sementara itu, TA Research percaya bahawa pasaran tenaga kerja Malaysia bersedia mengekalkan kestabilannya pada masa hadapan didorong oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan.

 

Katanya, trajektori positif ini dijangka terus menjana peningkatan permintaan untuk buruh, berfungsi sebagai pemacu penting bagi penstabilan ekonomi yang berterusan.

 

"Secara purata, kadar pengangguran untuk sepanjang tahun diunjurkan pada 3.4%, menandakan peningkatan daripada 3.8% yang dicatatkan pada 2022 dan kadar 4.6% yang diperhatikan pada 2021," katanya. - DagangNews.com