KUALA LUMPUR 21 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meluaskan rangkaian jalinan perhubungan bersama MISC Berhad dengan menandatangani Terms of Reference (TOR) di ibu pejabat MISC.
Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (OPLAT) Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Farizal Myeor telah mewakili Pemangku Panglima Tentera Laut pada majlis itu.
TOR tersebut telah ditandatangani oleh Laksamana Pertama Mohd Shariman Ishak, Asisten Ketua Staf Perisikan Laut (RISLA) dan Ketua Bahagian Penyiasatan Keselamatan dan Perisikan MISC, Raguraman Subramaniam
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama yang menjurus kepada perkongsian maklumat dan perisikan ini telah diilhamkan sejak tahun 2021.
Ia bermula dengan perbincangan tidak rasmi dalam sesi dialog bagaimana kedua-dua pihak dapat memanfaatkan maklumat yang sedia untuk kepentingan bersama.
“Persetujuan bersama telah dicapai pada awal tahun 2023 untuk mewujudkan TOR yang akan memberikan garis panduan terhadap kerjasama ini.
“Setelah melalui bahagian perundangan kedua-dua pihak, ia telah bersedia untuk dijadikan panduan dalam memantapkan lagi kerjasama ini ke arah yang lebih sistematik,” ujar kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, kerjasama antara TLDM dan MISC secara asasnya telah pun wujud sejak tahun 2008 semasa Operasi Fajar.
Operasi berjaya membebaskan dua buah kapal milik MISC iaitu MV Bunga Melati 2 dan MV Bunga Melati 5 setelah dirampas lanun Somalia di Teluk Aden.
Berikutan kejayaan itu, pihak MISC memindah milik dua buah kapal mereka kepada TLDM iaitu Bunga Mas 5 pada 2009 dan Tun Azizan (2011) sebagai kapal auksiliari.
KA Bunga Mas Lima merupakan kapal dagang pertama di Malaysia yang diubahsuai sebagai sebuah kapal pelbagai guna TLDM.
KA Tun Azizan pula dijadikan sebagai kemudahan pangkalan operasi hadapan TLDM di Laut Sulu, Lahad Datu, Sabah bagi menyokong operasi Markas Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM).
Dengan wujudnya TOR ini, kerjasama yang terjalin akan lebih teratur, komprehensif dan lebih bermanfaat kepada industri maritim negara serta dapat memelihara kedaulatan negara. - DagangNews.com