LUMUT 30 Dis - Satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden pelangggaran bot tempur semasa demonstrasi pada Hari Terbuka Armada 2022 di sini semalam.
Dalam kejadian itu, sebuah bot tempur Tentera Laut Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah hilang kawalan lalu terlanggar kapal korvet KD Laksamana Tan Pusmah.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 semasa demonstrasi manuvra.
Menurut kenyataan itu, demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan itu dilakukan di sekitar jeti Pangkalan TLDM Lumut.
"Insiden tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1 m.
"Manakala bot tempur kemek pada bahagian haluan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini," kata kenyataan itu hari ini.
Insiden tersebut bagaimana pun tidak menjejaskan program Hari Terbuka Armada 2022 yang diteruskan mengikut atur cara ditetapkan.
Sambutan Hari Terbuka Armada 2022 yang bermula semalam sehingga esok merupakan acara yang ditunggu-tunggu masyarakat untuk melihat lebih dekat kapal-kapal perang TLDM.
Pelbagai aktiviti yang dianjurkan pada hari itu juga bertujuan mendekatkan Navy People dengan masyarakat.
Kali terakhir Hari Terbuka Armada diadakan pada 2019 yang menyaksikan kehadiran lebih 60,000 pengunjung. - DagangNews.com