TM ONE dilantik penyedia teknologi infrastruktur awan kepada SAP Malaysia | DagangNews Skip to main content

TM ONE dilantik penyedia teknologi infrastruktur awan kepada SAP Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad  (TM), TM ONE menjadi syarikat berskala-hiper tempatan pertama yang dilantik sebagai penyedia Rakan Awan Terurus (Partner Managed Cloud – PMC) bagi himpunan penyelesaian perniagaan SAP Malaysia Sdn Bhd (SAP).

 

Dengan perlantikan ini, α Edge (disebut sebagai Alpha Edge) daripada TM ONE bakal menyediakan infrastruktur awan bagi memperkasakan penyelesaian Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) SAP dalam memenuhi keperluan perniagaan pelanggan perusahaan TM ONE.

 

Pada masa yang sama, kedua-dua pihak tersebut telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama strategik bagi mempercepatkan transformasi digital perusahaan di Malaysia dan mempertingkatkan kecekapan operasi mereka menerusi penyelesaian digital.

 

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Naib Presiden Eksekutif, TM ONE, Shazurawati Abd Karim berkata, pelantikan oleh SAP Malaysia merupakan satu lagi pencapaian buat TM ONE untuk mereka terus mengembangkan dan memperkasa penawaran Cloud α yang diperkenalkan

 

“Kali ini, kami menyediakan kedaulatan-awan yang terbesar buat pelanggan bagi memperkasakan penyelesaian SAP Business One yang disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan bersaiz sederhana. 

 

Shazurawati Abd Karim
Shazurawati Abd Karim

 

“Dengan penyelesaian ini, para pelanggan kami akan dapat menikmati penyelesaian perniagaan berasaskan awan bertaraf dunia, yang dihoskan pada awan pintar TM ONE – infrastruktur awan α Edge. 

 

“Ia menawarkan sambungan awan dan keselamatan siber yang tiada tandingan serta penempatan data sepenuhnya di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai penyedia PMC SAP, TM ONE bakal menawarkan pelanggannya dengan model SAP Business One berdasarkan langganan sepenuhnya yang dihoskan pada α Edge TM ONE, digabungkan dengan perkhidmatan terurus. 

 

Ini membenarkan organisasi memindahkan sistem perusahaan mereka kepada awan dengan penuh yakin, jelas dan boleh dijangka.

 

Menerusi pendekatan ini, pelanggan TM ONE akan turut boleh menikmati penyelesaian terurus sepenuhnya yang sedia digunakan, tempoh-kepada-nilai (time-to-value) yang pantas, jumlah kos pemilikan (total cost of ownership – TCO) yang lebih rendah dan pelaksanaan yang boleh diubah dan fleksibel. 

 

Selain itu, TM ONE sedang dalam perbincangan dengan SAP bagi memuktamadkan skop penawarannya dengan memperluaskan program PMC ke penyelesaian perusahaan pintar SAP S/4HANA yang disasarkan kepada pelanggan perusahaan besar. 

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, TM ONE dan SAP akan turut meninjau kerjasama penciptaaan bersama dan inovasi yang boleh mewujudkan inisiatif transformasi untuk kes-kes gunaan 5G, Pengalaman Pelanggan, Perolehan & Rantaian Bekalan Digital dan Pengurusan Pengalaman Insan. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan SAP Malaysia, Hong Kok Cheong berkata, transformasi digital sebenar adalah asas bagi perubahan pengalaman pelanggan, model-model perniagaan, dan operasi bagi mencari cara baharu untuk memberikan lebih nilai, menjana keuntungan dan meningkatkan kecekapan. 

 

Hong Kok Cheong
Hong Kok Cheong

 

“Ini boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi pintar seperti penyelesaian ERP, Kecerdasan Buatan (AI) dan awan. Dengan penyelesaian SAP yang dihoskan pada α Edge milik TM ONE, perniagaan boleh menguasai sepenuhnya data mereka dan membina  sebuah perusahaan pintar sebenar, di samping memacu inovasi yang berasaskan hasil yang lebih  diyakini, membuat keputusan dalam masa-nyata, dan terus berkembang pesat dalam ekonomi  digital,” ujar beliau.

 

SAP merupakan penyedia aplikasi perusahaan terkemuka di dunia pada masa ini. 


Di seluruh dunia,  pelanggan SAP termasuklah 92% syarikat-syarikat Forbes Global 2000, 98% daripada 100 jenama yang paling bernilai, 97% daripada syarikat-syarikat mesra alam sekitar (menurut Newsweek), manakala dianggarkan 80% pelanggan SAP merupakan PKS. - DagangNews.com