TNB akan serahkan penyata terperinci BPE, bil Julai | DagangNews Skip to main content

TNB akan serahkan penyata terperinci BPE, bil Julai

TNB

KUALA LUMPUR 2 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyerahkan perincian manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) kepada pengguna domestik yang diterima pada bulan April, Mei dan Jun bersama bil bulan Julai.

TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyata tersebut akan diserahkan dalam masa tujuh hari melalui pos selepas proses pembacaan meter dibuat.

"Pelanggan juga boleh melihat Penyata Terperinci dan bil tersebut melalui laman web dan aplikasi myTNB selepas 48 jam menerima Notis Makluman.

"Pembaca meter TNB akan melakukan bacaan bulan Julai di premis pelanggan bermula pada 3 Julai 2020 dan pelanggan akan diberi Notis Makluman bahawa pembacaan telah dilakukan," kata kenyataan itu.

 

TNB

Terdahulu, pada 20 Jun 2020 kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada 7.66 juta pengguna domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma hingga RM231 bagi tempoh tiga bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April, Mei dan Jun 2020 dan akan dinyatakan bersama dalam bacaan bil sebenar.

Jelas kenyataan itu lagi, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601-900kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10% iaitu tambahan 8% daripada kadar diskaun yang sedia ada sebanyak 2% bermula April hingga September 2020. - DagangNews.com