TNB mempergiat usaha pemulihan hutan bakau dengan penanaman 7,000 anak benih di Manjung, Perak | DagangNews Skip to main content

TNB mempergiat usaha pemulihan hutan bakau dengan penanaman 7,000 anak benih di Manjung, Perak

Menerusi program pemulihan hutan bakaunya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menanam 18,800 anak benih bakau di Sungai Limau dan Kampung Sungai Tiram di daerah Manjung sejak tahun 2013.

Menerusi program pemulihan hutan bakaunya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menanam 18,800 anak benih bakau di Sungai Limau dan Kampung Sungai Tiram di daerah Manjung sejak tahun 2013.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempergiatkan lagi usaha mereka dalam projek pemulihan hutan bakau dengan sasaran untuk menanam 7,000 anak benih bakau di Sungai Limau, Manjung di Perak bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2022.

 

Inisiatif hijau itu adalah fasa kedua projek berasaskan komuniti yang dilaksanakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Environment Centre (GEC), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Komuniti Sungai Limau, Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Lekir Sitiawan.

 

Melalui fasa pertama inisiatif itu, 10,600 anak benih bakau telah ditanam di kawasan seluas hampir empat hektar di Manjung.

 

“Kami memulakan usaha sama ini pada tahun 2019 untuk menggalakkan sifat kepemilikan dalam kalangan komuniti agar terus melindungi hutan bakau yang menjadi habitat kepada ribuan spesis. 

 

“Kami gembira untuk memberitahu bahawa kehidupan akuatik seperti ketam telah kembali ke kawasan itu, menandakan keseimbangan ekologi hutan bakau yang sihat,” kata Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.

 

Usaha pemulihan hutan bakau telah menjadi satu daripada aktiviti Tanggungjawab Korporat TNB sejak 2013.

 

 Omar Sidek menyerahkan pembayaran akhir kepada Pengurus Global Environment Centre (GEC), R. Nagarajan untuk Fasa 1 melibatkan penanaman 10,600 pokok bakau di Sungai Limau, Manjung, Perak pada 6 Januari 2021.
Omar Sidek (kanan) menyerahkan pembayaran akhir kepada Pengurus Global Environment Centre (GEC), R. Nagarajan untuk Fasa 1 melibatkan penanaman 10,600 pokok bakau di Sungai Limau, Manjung, Perak pada 6 Januari 2021. 

 

Sejumlah 23,600 anak benih bakau telah ditanam setakat ini, dengan 18,800 di Manjung; dan 4,800 di tempat lain di Perak, Selangor, Perlis dan Pulau Pinang. 

 

Dengan tambahan 7,000 yang bakal ditanam di Manjung dan 1,000 di Jimah, Port Dickson, ia menjadikan sejumlah 31,600 anak benih bakal ditanam menjelang 2022.

 

“Sebagai syarikat yang mengambil berat terhadap alam sekitar, kami komited untuk menghijaukan bumi, selaras dengan nilai teras kami iaitu Prihatin, yang menghormati dan menjaga komuniti serta alam sekitar,” jelas Omar.

 

Pengarah GEC, Faizal Parish berkata penanaman anak benih bakau di Sungai Limau membantu memulakan proses pemulihan ekologi kawasan itu yang terjejas akibat ketiadaan arus pasang surut.

 

“Dengan bantuan 10 ahli Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, kami menggali parit sepanjang 150 meter untuk membolehkan air laut membanjiri kawasan yang bakal ditanam dengan anak benih bakau dan seterusnya memulihkan habitat semulajadinya.

 

“Penduduk Sungai Limau bersama Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula dan Sahabat Hutan Bakau Pasir Panjang Laut akan bekerjasama dalam usaha pemulihan termasuk membekal, menanam, melakukan pemeriksaan berkala dan pemantauan anak benih tersebut," tambahnya. - DagangNews.com