TNB mula agih bantuan kepada golongan B40 hasil kutipan Tabung WTP | DagangNews Skip to main content

TNB mula agih bantuan kepada golongan B40 hasil kutipan Tabung WTP

PETUGAS-PETUGAS TNB yang menyampaikan sumbangan kepada golongan B40 hasil daripada kutipan potongan gaji warga kerja syarikat utiliti itu menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP).

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan penyerahan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di seluruh Semenanjung, khususnya golongan B40 menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) pada 20 Jun 2021.

 

Daripada jumlah kutipan tabung sebanyak RM1.34 juta setakat ini (21 Jun), sebanyak RM270,000 sedia disalurkan kepada penerima daripada pelbagai bangsa dan agama di Semenanjung Malaysia. Setakat ini, RM40,000 telah diagihkan di Kuala Lumpur.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB percaya ramai dalam kalangan masyarakat yang terjejas untuk meneruskan kelangsungan hidup berikutan pandemik ini.

 

"Atas sebab itu bantuan ini diagihkan secepat mungkin bagi mencerminkan keprihatinan TNB sebagai sebuah syarikat yang sentiasa di sisi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Berpegang kepada prinsip “yang ada perlu membantu kepada yang tiada dan di sebalik setiap rezeki ada hak insan lain”, beliau berkata penyerahan pantas bantuan dari Tabung WTP juga menzahirkan kesyukuran warga kerja TNB atas nikmat kurniaan Tuhan secara berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

 

“Saya yakin ramai yang terkesan dari pelbagai sudut akibat pandemik ini. Terjejas atau kehilangan pendapatan memberi impak besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada ahli keluarga masing-masing. Diharap sumbangan serba sederhana dan ikhlas daripada warga kerja TNB ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” ujar beliau.

 

Tabung WTP dilancarkan pada 9 Jun lalu dengan matlamat mengutip sumbangan daripada warga kerja TNB melalui potongan gaji bulan Jun dan Julai secara sukarela untuk diagihkan kepada golongan rentan di seluruh Semenanjung.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din

 

Penerima manfaat dipilih berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan Orang Kurang Upaya, e-Kasih, JKM dan PPRT (di bawah Kementerian Pembangunan Wanita & Masyarakat), Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

 

Bagi setiap ringgit yang disumbangkan warga kerja, TNB akan menambah nilai yang sama agar manfaat daripada tabung ini dapat dikongsi dengan lebih meluas. Agihan Tabung WTP dilaksanakan melalui perbankan dalam talian.

 

Pengurusan Tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah TNB adalah antara lebih 12,300 warga kerja TNB bagi mengisi Tabung WTP setakat ini. Kempen kutipan dijadualkan tamat pada 15 Julai ini.

 

“Keprihatinan terhadap permasalahan yang menimpa golongan kurang bernasib baik menyerap jauh ke sanubari kami di TNB termasuk pihak Pengurusan Tertinggi mahupun Ahli Lembaga Pengarah. Saya yakin jumlah kutipan tabung ini akan terus meningkat sehingga kempen tamat nanti,” tambah Baharin.

 

Selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. - DagangNews.com