TNB naik taraf PMU demi jaminan bekalan elektrik di Lembah Teknologi Sedenak | DagangNews Skip to main content

TNB naik taraf PMU demi jaminan bekalan elektrik di Lembah Teknologi Sedenak

Ir Dev Anandan (kanan) memberikan penerangan mengenai operasi Pencawang Masuk Utama TNB Sedenak kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membina Pencawang Masuk Utama (PMU) Sedenak dalam usaha memperkasakan bekalan tenaga elektrik ke Lembah Teknologi Sedenak, khususnya hab Pusat Data Antarabangsa, Sedenak Tech Park (STeP), Johor.


 
Kerja-kerja pembinaan PMU Sedenak dengan kos projek RM68 juta itu siap pada Ogos 2019 bagi menyokong kegiatan pembangunan ekonomi negeri Johor meliputi kawasan Sedenak, Kulai dan Nusajaya. 

 

Selain itu, pihak TNB juga turut membelanjakan kos tambahan sebanyak RM1.2 Juta lagi untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf pepasangan untuk membekalkan bekalan elektrik kepada Bridge Data Centre pada September 2022.


 
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai inisiatif TNB dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di kawasan pertumbuhan sekali gus dapat memberi keyakinan tinggi kepada para pelabur untuk menyertai rancangan pembangunan ekonomi negeri.


 
“Saya berterima kasih kepada TNB kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong pembangunan pelaburan asing ke negeri Johor,” katanya dalam lawatan teknikal beliau bersama beberapa Exco Kerajaan Negeri Johor ke PMU Sedenak pada 20 Oktober 2022.


 
Beliau diberi penerangan oleh Ketua Pembangunan Grid TNB, Ir. Dev Anandan mengenai kerja-kerja naik taraf pepasangan untuk pembekalan bekalan elektrik yang bermula April 2022 lalu dan siap lebih awal daripada jadual asal Mac tahun depan. 

 

Onn Hafiz diiringi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Ir. Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh.


 
TNB menyegerakan naik taraf PMU Sedenak yang beroperasi sejak 2019 sempena komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam menyahut inisiatif kerajaan negeri menggerakkan pertumbuhan kawasan industri berdekatan dan pusat data antarabangsa. 
 
Justeru, PMU Sedenak dijangka menjadi pemangkin kepada aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk merancakkan kemajuan kawasan seluas 7,290 ekar Lembah Teknologi Sedenak, yang merangkumi STeP sebagai komponen utama pertumbuhannya.


 
STeP yang mendapat sokongan penuh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dibangunkan di kawasan seluas 745 ekar, bakal menjadi hab data kedua di Malaysia selepas Cyberjaya. Ia dijangka menjana RM17 bilion nilai pelaburan dan mewujudkan lebih 8,700 peluang pekerjaan dengan menjadi hab data alternatif utama di Asia Tenggara.


 
Menurut Dev Anandan, PMU 275/132kV Sedenak telah pun menyalurkan bekalan elektrik kepada para pengguna, komersial dan industri termasuk pelanggan terbaru di hab data, Bridge Data Center (BDC) iaitu anak syarikat peneraju pusat maklumat di China, Chindata Group.


 
Katanya, projek menaik taraf PMU ini diklasifikasikan sebagai kritikal, berimpak tinggi dan fast track project demi memastikan keperluan pelanggan hab data di SteP dipenuhi, stabil dan berdaya harap. Ia dilaksanakan oleh dua kontraktor utama, iaitu GMO Cables Sdn. Bhd. dan Auconpro Engineering Sdn. Bhd.


 
‘PMU Sedenak ini berupaya menampung keperluan semasa bekalan elektrik dan TNB merancang untuk memperkukuhkannya dengan projek-projek naik taraf bagi meningkatkan keupayaan PMU Sedenak membekalkan bekalan elektrik di masa hadapan.


 
“Ketika ini, ada empat lagi permohonan untuk menyalurkan bekalan elektrik yang stabil dan berterusan ke pusat data di negeri Johor, iaitu dua di Nusajaya dan masing-masing satu di Sedenak dan Kulai,” katanya.


 
TNB komited untuk memastikan projek-projek pusat data di negeri Johor dilaksanakan sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dengan Johor muncul antara hab data pusat terbesar. - DagangNews.com