TNB, PIPP tandatangan perjanjian pembelian tenaga di Pulau Indah | DagangNews Skip to main content

TNB, PIPP tandatangan perjanjian pembelian tenaga di Pulau Indah

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd. (PIPP).

Perjanjian PPA itu adalah susulan kerajaan telah memberi kebenaran kepada PIPP menerusi Tadmax Resources Berhad (Tadmax Resources) untuk membangunkan loji janakuasa gabungan gas kitaran di Pulau Indah, Selangor. 

PIPP merupakan syarikat yang dimiliki oleh Tadmax Resources (40%), Worldwide Holdings Berhad (35%) dan Korea Electric Power Corporation (25%).

TNB menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, PPA itu sah selama 21 tahun bermula tarikh operasi komersial blok penjana yang pertama, pada 1 Januari 2024.

“Berdasarkan pemberian itu, Tadmax Resources diminta untuk menandatangani PPA dengan TNB untuk penjualan dan pembelian tenaga elektrik yang dihasilkan.

“PIPP akan membina, memiliki, mengendali dan menyelenggara kemudahan penjanaan elektrik berkenaan dengan jumlah kapasiti nominal 1,200 megawatt (MW) yang terletak di Pulau Indah,” jelas TNB hari ini.

Tandatangan PPA itu tidak melibatkan pengeluaran dan pembayaran modal serta pemegangan saham oleh pemegang saham TNB.

Perjanjian itu juga akan memberi impak neutral terhadap perolehan TNB sepanjang tempoh sah PPA memandangkan kos penjanaan sepenuhnya di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Dalam pada itu, tiada pengarah, pemegang saham utama TNB atau pihak berkepentingan terlibat dengan PPA berkenaan.

Theedgemarkets.com melaporkan, setakat tengah hari tadi, saham TNB kekal pada kadar RM11 dengan 894,800 saham didagangkan. 

Saham Tadmax Resources pula mencatatkan 29 sen dengan nilai pasaran RM227.15 juta. - DagangNews.com