TNB tumpu 4 aspek sokong Pelan Pemulihan Negara | DagangNews Skip to main content

TNB tumpu 4 aspek sokong Pelan Pemulihan Negara

KEUTAMAAN TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara termasuk memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada hospital, PSV dan PPV serta lebih daripada 9 juta pelanggan di seluruh negara.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited untuk membantu usaha kerajaan dalam menangani impak pandemik COVID-19 dengan memberi sokongan dan kerjasama terhadap Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

 

Susulan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara berfokus kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

 

“Kesan positif daripada empat aspek tumpuan ini menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan wabak COVID-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.

 

“Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

 

Baharin Din
Baharin Din

 

“Ia bagaimanapun, tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada 9 juta pelanggan kami. Pasukan operasi kami kekal terus menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko, didorong matlamat kami untuk memastikan bekalan elektrik kukuh dan stabil bagi menyinari dan menceriakan kehidupan,” jelas Baharin dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Seiring program imunisasi nasional, Baharin berkata, TNB juga aktif mengambil langkah-langkah perlu untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis-premis syarikat sebagai PPV  bagi mempercepatkan kadar vaksinasi negara. 

 

Usaha- usaha berkenaan melengkapi inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital, katanya lanjut. 

 

Mengenai peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, Baharin memberitahu bahawa TNB akan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerja termasuk program potongan gaji secara sukarela. 

 

Sejak Januari 2021, TNB telah secara langsung telah memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini, dan berhasrat untuk terus menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan di mana syarikat itu beroperasi di seluruh negara.

 

Tambah beliau, pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir 7 juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini. 

 

“Kami juga berperanan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan ini akan menjadi lebih ketara dalam fasa-fasa akhir Pelan Pemulihan Negara. Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional. 

 

“Usaha ini disokong oleh program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula bagi menyokong pewujudan peluang pekerjaan baharu dalam industri,” katanya lanjut.

 

Sebagai rekod, sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana. 

 

Satu inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, ILSAS bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

 

Kata Baharin, inisiatif-inisiatif itu dilakukan bagi memastikan TNB dapat berterusan meletakkan negara dan rakyat dalam kedudukan yang baik dalam usaha untuk mempercepatkan usaha pemulihan. 

 

“Bagi TNB, peranan kami untuk menyokong pertumbuhan ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2024 akan bertumpu kepada memastikan sistem rangkaian bekalan yang kukuh dan selamat; memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan berubah; serta menyokong proses peralihan tenaga negara, dengan cadangan nilai pelaburan berjumlah RM24 bilion,” tambah Baharin. - DagangNews.com