TNB umum pembayaran dividen interim 25 sen untuk FY24 | DagangNews Skip to main content

TNB umum pembayaran dividen interim 25 sen untuk FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini mengumumkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Berdasarkan laporan kewangannya untuk suku kedua 2024, pembayaran itu melibatkan sejumlah RM1.45 bilion merentasi 5.81 bilion saham.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembayaran dividen itu dijadualkan pada 17 Oktober 2024.

 

Untung bersih syarikat itu melonjak kepada RM1.44 bilion pada suku kedua 2024, disebabkan keuntungan operasi yang lebih tinggi ditambah dengan pertukaran asing yang menggalakkan.

 

Pendapatan TNB bagi suku tersebut meningkat kepada RM14.36 bilion daripada RM13.32 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Ini disebabkan oleh jualan elektrik yang lebih tinggi sebanyak 5.7% atau RM745.8 juta," katanya.

 

Pada pukul 4.30 petang, saham TNB mencatatkan penurunan sebanyak 0.4%, turun 0.6 sen kepada RM14.60 daripada harga penutup sebelum ini sebanyak RM14.66, menjadikan permodalan pasarannya kepada RM84.9 bilion. - DagangNews.com