Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Anak syarikat penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES) memeterai perjanjian Smart Energy Efficiency (SEE) bersama Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).
Perjanjian bernilai RM2.45 juta itu membolehkan INSTEP menjimatkan penggunaan kira-kira 407,880 kWh elektrik setiap tahun.
Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd. Hamid berkata, perjanjian tersebut dilihat sebagai satu lagi kolaborasi penting antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memantapkan lagi kecekapan tenaga dan tenaga hijau.
"TNBES akan membekalkan penyelesaian gaya hidup cekap tenaga yang inovatif dan bermanfaat kepada INSTEP.
"Kami percaya kerjasama ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga hijau di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pertukaran perjanjian tersebut dijalankan secara maya antara Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim yang berlangsung pada 18 Oktober 2020.
Melalui perjanjian itu, kira-kira 288 tan metrik pelepasan karbon dioksida dapat dikurangkan pada setiap tahun.
Jumlah itu bersamaan dengan jumlah karbon dioksida yang mampu diserap oleh 4,769 anak pokok untuk tempoh 10 tahun.
Menerusi perjanjian selama 10 tahun yang tamat pada tahun 2030 itu, TNBES akan merangka dan melaksanakan strategi perbelanjaan operasi terbaik bagi INSTEP, khususnya dari segi kecekapan tenaga (EE) tanpa perbelanjaan modal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim menjelaskan, inisiatif itu sejajar dengan komitmen pihaknya terhadap Agenda Kelestarian Pembangunan PETRONAS dalam melindungi alam sekitar, serta memberi nilai dan manfaat positif kepada masyarakat.
“Selain mengoptimumkan kecekapan tenaga, INSTEP juga telah menceburi bidang pengkomposan makanan yang mencerminkan idea ‘daripada sisa makanan kepada sumber’.
"Bidang ini menjangkakan untuk mengkompos kira-kira 36.5 tan sisa makanan setiap tahun bagi menyumbang kepada pengurangan gas rumah hijau, bersamaan dengan jumlah yang boleh serap oleh 466 batang pokok dalam setiap tahun," ujar beliau.
INSTEP akan menggunakan penyelesaian kecekapan tenaga TNBES dengan memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) dan lampu tiang tinggi di Kawasan Bukan Proses seperti bangunan pengurusan, pejabat dan lampu jalan di pusat latihan mereka.
Perjanjian ini juga adalah satu usaha untuk mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan kolaborasi antara syarikat-syarikat di Malaysia dalam usaha untuk mencapai pematuhan terhadap Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara. - DagangNews.com