Top Glove, IJMP ungguli ‘carta’ jual beli saham minggu lalu - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Top Glove, IJMP ungguli ‘carta’ jual beli saham minggu lalu - CGS CIMB

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Top Glove Corporation Berhad dan IJM Plantations Berhad (IJMP) antara syarikat yang menggungguli senarai jual dan beli saham oleh pelabur pada minggu lalu. 

 

Turut tersenarai adalah saham CIMB Group Holdings Berhad, menurut CGS-CIMB Research. 

 

“Top Glove paling banyak dibeli oleh pelabur runcit, penama dan proprietari, namun merupakan saham jual bersih teratas untuk pelabur institusi tempatan dan asing pada minggu lalu.

 

“CIMB merupakan saham teratas yang dibeli oleh pelabur institusi asing, namun paling banyak dijual oleh pelabur runcit, penama dan proprietari.

 

“IJMP menjadi saham kedua terbesar yang dibeli oleh pelabur institusi asing, tetapi antara lima saham teratas yang paling banyak dijual oleh pelabur runcit dan proprietari susulan tawaran KLK untuk mengambilalih 56.2% kepentingan IJM Corporation Berhad dalam IJMP pada kadar RM3.10 sesaham,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Baca : Tawaran KLK munasabah, IJM setuju jual 56.2% kepentingan

 

Dalam pada itu, Top Glove, Dialog Group Berhad dan Hartalega Holdings Berhad menjadi sasaran utama bagi penjualan singkat dari segi nilai dagangan pada tempoh sama.

 

Menurut CGS-CIMB lagi, pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih terbesar ekuiti tempatan untuk minggu kedua berturut-turut. 

 

Walau bagaimanapun, pembelian mereka menyusut sebanyak 56% kepada RM191 juta ekuiti, tambah CGS-CIMB. 

 

“Mereka merupakan pembeli bersih terbesar saham dalam sektor penjagaan kesihatan dan teknologi. 

 

“Tiga saham pembelian bersih teratas oleh pelabur runcit minggu lalu adalah Top Glove, Dagang Nexchange Berhad dan Hartalega,” jelas CGS-CIMB.

 

Bagi minggu dagangan antara 8 hingga 11 Jun lalu, KLCI menyusut 0.2% susulan kerugian dalam sektor penjagaan kesihatan, tenaga dan perladangan. 

 

Purata jumlah dagangan harian juga menurun 23% bagi perbandingan minggu ke minggu kepada 5.8 bilion unit, sementara purata nilai dagangan harian menyusut 17% kepada RM3.35 bilion.

 

Namun, pemegangan asing dalam ekuiti Malaysia berjaya menokok 0.1% kepada 20.4% setakat penghujung Mei 2021 berbanding bulan sebelumnya. - DagangNews.com