Transformasi bank digital Malaysia perlu dipercepatkan, elak ketinggalan - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Transformasi bank digital Malaysia perlu dipercepatkan, elak ketinggalan - PM Anwar

Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul Abdul Aziz, Gobind Singh dan pengursan Grab serta GXBank pada majlis perasmian Ibu Pejabat bank itu di Petaling Jaya hari ini.

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Transformasi bank digital di Malaysia perlu dipercepatkan dan diberi laluan pantas supaya dapat bergerak maju dan tidak ketinggalan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia bukan antara yang terawal memperkenalkan bank digital di rantau ini dan agak ketinggalan dalam beberapa aspek.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kerajaan, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Digital memberikan sokongan supaya bank digital tidak lagi terhambat dan terhalang dengan peraturan dan proses yang lama.

 

“Cabaran untuk GXBank dan bank digital lain ialah melakukan perubahan itu dalam kadar yang lebih laju dan pesat.

 

“Saya yakin seluruh keluarga GX Bank ini akan menyahut cabaran ini dengan berani,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ibu Pejabat GXBank dan Pelancaran Pusat Kecemerlangan GXBank di Petaling Jaya hari ini.

 

Hadir sama pada majlis pelancaran berkenaan ialah Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Gobind Singh Deo, Menteri Digital. 

 

Turut hadir Datuk Zaiton Mohd. Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah, GXBank; Anthony Tan, Ketua Eksekutif Grab Holdings; Lai Pei-Si, Ketua Eksekutif GXBank; ahli lembaga pengarah dan pemegang saham GXBank; dan pengurusan kanan Grab Malaysia.

 

anwar
Anwar Ibrahim berucap merasmikan Ibu Pejabat CXBank di Petaling Jaya hari ini. -Gambar Bernama

 

"Cabaran untuk GXBank dan bank digital lain ialah melakukan perubahan itu dalam kadar yang lebih laju dan pesat.

 

Saya yakin seluruh keluarga GXBank ini akan menyahut cabaran ini dengan berani," katanya.

 

GXBank, yang dibangunkan oleh Grab, adalah berasaskan teknologi dan didorong syarikat induknya dalam memberi kesan ekonomi dan sosial serantau, dengan meletakkan sasaran untuk menerajui transformasi industri perbankan dan kewangan digital.

 

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan, berkata GXBank lebih daripada aspirasi kebangsaan atau hab teknologi.

 

Katanya, ia juga melambangkan pelbagai impian kewangan besar dan kecil setiap rakyat Malaysia.

 

"Dengan sokongan tenaga kerja berbakat yang terdiri daripada lebih 95 peratus rakyat Malaysia, GXBank maju ke hadapan dalam menangani keperluan kewangan sebenar setiap rakyat Malaysia," jelanya.

 

GXBank - dikawal oleh Bank Negara Malaysia dan dilindungi oleh Perbadanan Insurans Bhd Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit – adalah bank digital pertama Malaysia yang mula beroperasi pada 1 September 2023.

 

Bank itu memperoleh kepercayaan dan sokongan 100,000 pengguna dalam tempoh dua minggu pertama debutnya pada November 2023.

 

Menjelang akhir Julai 2024, ia mengumpulkan lebih daripada 750,000 pelanggan, yang telah menyediakan lebih daripada 800,000 Poket Simpanan.- DagangNews.com