Travelwalla lancar rakan percutian dalam talian pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Travelwalla lancar rakan percutian dalam talian pertama di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - Travelwalla melancarkan rakan percutian dalam talian pertama di Malaysia dengan menggunakan konsep langganan bagi memberikan penyelesaian percutian lengkap kepada pengguna.

 

Travelwalla yang dicetuskan pada 2021 oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Mohammed Amin Mohammed Sidek bagi memberi nafas baharu untuk sektor pelancongan menerusi penyelesaian yang inovatif.

 

Beliau berkata, platform tempahan percutian dalam talian tempatan ini merupakan pelopor trend percutian terbaharu dengan pemerkasaan kepada rakan industri pelancongan bagi mengurangkan kebergantungan kepada laman web pihak ketiga selain menawarkan pengalaman pelancongan yang menarik.

 

Katanya, bagi menarik lebih ramai pelanggan, Travelwalla melancarkan halaman “Become A Partner” yang berjaya menarik kontrak bernilai RM20 juta daripada pelbagai pemilik hartanah yang telah disenaraikan secara percuma dalam tempoh dua minggu selepas pelancaran.

 

“Travelwalla diwujudkan bagi mendorong perubahan industri dalam ekosistem pelancongan dan juga pengguna dengan kami menawarkan lebih banyak pilihan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Travelwalla akan menghimpunkan lebih 60,000 hartanah untuk pilihan pengguna yang menempah percutian melalui laman webnya.

 

travelwaala
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohammed Amin Mohammed Sidek (kiri) bersama Ketua Pegawai Teknologi, Amir Azril.

 

Kedua-dua teknologi  membenarkan hotel yang tersenarai meluaskan jangkauan dan keberadaan dalam talian sambil mengurus harga, ketersediaan dan tempahan dengan mudah melalui aneka solusi yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

 

Beliau berkata, pihaknya berasa bangga mendapat sokongan penyedia teknologi industri yang bukan sahaja membantu meningkatkan jumlah inventori tetapi juga menawarkan penyelesaian yang menyokong semua platform.

 

Bagi setiap tempahan yang dilengkapkan, Travelwalla menyimpan 12% daripada harga jualan sehingga jumlah yang disimpan mencapai harga langganan tahunan yang dipersetujui. 

 

Model ini, yang pertamanya dengan konsep sedemikian akan menyaksikan penjimatan oleh hotel sebanyak 90% komisyen yang dibayar kepada ejen percutian dalam talian atau OTA antarabangsa. - DagangNews.com