Tropicana cadang lupus W Kuala Lumpur berharga RM270 juta kepada IOI PFCC, Flora Development | DagangNews Skip to main content

Tropicana cadang lupus W Kuala Lumpur berharga RM270 juta kepada IOI PFCC, Flora Development

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Tropicana Corporation Berhad menerusi Tropicanan Residences Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama IOI PFCC Hotel Sdn. Bhd. dan Flora Development Sdn. Bhd. bagi pelupusan hotel W Kuala Lumpur berharga RM270 juta.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pelupusan memberikan anggaran pro forma keuntungan bersih kira-kira RM7.41 juta.

 

Cadangan pelupusan itu akan menghasilkan kira-kira RM270 juta hasil dan selepas menolak mesemua perbelanjaan sampingan berkaitan, kumpulan itu akan menggunakannya untuk mebayar balik sepnuhnya pinjaman bank sedia ada bagi hotel tersebut dan menambah baik tahap penggearan Tropicana Group.

 

"Selepas cadangan itu selesai, Tropicana Group dapat meningkatkan prestasi kewangannya dan merealisasikan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan aliran tunainya," katanya.

 

Selaras dengan terma dan syarat SPA, pertimbangan pelupusan itu hendaklah dipenuhi sepenuhnya secara tunai dengan 30% bayaran atau RM81 juta sebaik pelaksanaan perjanjian manakala baki 70% atau RM189 juta dilunaskan dalam tempoh sebulan daripada tarikh SPA.

 

Hotel W Kuala Lumpur terletak di atas bangunan 25 tingkat, 150 bilik berserta kemudahan hotel dan 346 ruang tempat letak kereta. 

 

Ia terletak bersebelahan dengan persimpangan Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee, berhampiran Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC di Kuala Lumpur.

 

Cadangan itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitandan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam Tropicana Group.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, cadangan pelupusan itu dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan.- DagangNews.com