KUALA LUMPUR 6 Jan - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melakukan penyelenggaraan 'depot level' pesawat F/A-18D Hornet di dalam negara menerusi kerjasama rakan industri.
Semalam, pesawat F/A-18D Hornet bernombor M45-01 ini diserahkan semula kepada TUDM pada majlis yang diadakan di Hangar Hornet Readiness Center, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.
Majlis telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Pada majlis itu, Pengurus Besar Rosebank Engineering, Paul Pingnam telah menyerahkan pesawat F/A-18 D tersebut kepada Pegawai Memerintah No 18 Skuadron, Leftenan Kolonel Khamizan Morsidi.
TUDM melalui Markas Pemerintahan Bantuan Udara telah merancang bagi melaksanakan penyelengaraan ‘depot level’ ke atas pesawat ini pada 2021 iaitu setelah 24 tahun dioperasikan.
Ia melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh serta persekitaran operasi.
Pesawat F/A-18D ini sepatutnya perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara tetapi tidak dapat dilaksanakan disebabkan situasi pandemik.
Sebagai alternatif, TUDM telah mengambil pendekatan dengan melaksanakan penyelenggaraan ‘depot level’ yang dikenali sebagai 'Local Planned Maintenance 12 Years' (LPM-12Y).
Ini merupakan kali pertama dilaksanakan di Malaysia yang melibatkan kerjasama TUDM dan industri tempatan.
Penyelenggaraan ini melibatkan Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Butterworth, No 18 Skuadron, syarikat Rosebank Engineering (dahulunya RUAG) dan G7 Global Aerospace.
Kerja-kerja penyelenggaraan ini mengambil masa setahun enam bulan iaitu mulai 26 Julai 2021 hingga 5 Januari 2023.
Selain penyelenggaraan ‘depot level', pelaksanaan LPM-12Y ini memberi manfaat khususnya juruteknik pesawat untuk menimba pengalaman dan pengetahuan lebih menyeluruh.
Ini juga dapat memenuhi keperluan juruteknik bagi program senggaraan pada masa akan datang.
Dalam jangka masa panjang, ini akan menjimatkan kos-kos pembangunan atau penyelenggaraan aset-aset TUDM serta mewujudkan sinergi baharu secara berterusan dengan industri pertahanan tempatan.
Pada Disember lalu, No. 18 Skuadron meraikan ulangtahun ke-25 mengoperasikan pesawat tempur F/A-18D Hornet yang mula digunakan pada tahun 1997.
Sebagai simbolik, sebuah pesawat F/A-18D Hornet iaitu M45-01 diwarnakan dengan skema warna tema sambutan dan lakaran logo sambutan ulang tahun yang ke-25. - DagangNews.com