KUALA LUMPUR 27 Okt. - Para penganalisis ekonomi melihat tindakan Presiden Turki, Recep TayyipErdogan yang menyeru tindakan boikot ke atas barangan Perancis bakal memecahkan dunia islam kepada dua blok.
Pertama, negara yang merupakan rakan sekutu Turki dan kedua, negara yang menyokong Arab Saudi.
Gesaan boikot itu tercetus apabila Presiden Emmanuel Macron secara terbuka mempertahankan kartun Nabi Muhammad, yang bercanggah dalam agama Islam.
Macron membuat kenyataan itu pada minggu lalu sebagai penghormatan kepada guru sekolah Perancis yang dibunuh, Samuel Paty, di mana kepalanya dipenggal.
Paty dibunuh setelah dia menunjukkan kartun Nabi Muhammad semasa kelas sivik mengenai kebebasan bersuara.
Macron berpandangan bahawa Perancis tidak akan "menyerah" karikatur itu dan berjanji untuk menangani Islamis ekstrem di negaranya sekali gus mencetuskan demonstrasi dan boikot di negara-negara yang majoriti Islam.
Menurut Bloomberg, Marcon dikecam oleh negara-negara Islam selepas pemimpin dari Pakistan hingga Algeria menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan keras Presiden Perancis itu ke atas Islam radikal.
Semalam, Erdogan mengetuai seruan boikot ke atas barangan Perancis yang sekali gus menyaksikan ekonomi negaranya terjejas di mana mata wang Lira dan saham jatuh.
Ini berikutan para pelabur melihat seruan berkenaan mewujudkan ketegangan politik baharu antara Turki dan negara Barat.
"Kedua-dua pihak menggunakannya untuk kepentingan domestik,” kata Pensyarah Politik di London School of Economics, Fawaz Gerges menurut Bloomberg.
Sementara itu, Arab Saudi yang sebelum ini bertindak untuk berdiam diri mengeluarkan kenyataan kecaman ke atas kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad itu dan menolak sebarang usaha yang mengaitkan agama Islam dengan keganasan.
“Sekiranya Turki memboikot barangan Perancis, impak yang bakal ditanggung sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah sedikit. Turki merupakan rakan dagangan ke-16 terbesar Perancis pada tahun lalu.
“Maghribi merupakan satu-satunya negara majoriti Islam yang tergolong dalam 20 rakan dagangan teratas Perancis. Gabungan eksport Perancis ke kedua-dua negara itu masih sedikit dengan apa yang dijual di Ireland, sebuah negara yang mempunyai ekonomi separuh daripada Turki,” kata Bloomberg. - Dagangnews.com