‘TV box’ tertentu diharamkan, peluang terbaik Astro ‘tarik’ semula pelanggan? | DagangNews Skip to main content

‘TV box’ tertentu diharamkan, peluang terbaik Astro ‘tarik’ semula pelanggan?

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Tindakan Mahkamah Tinggi Harta Intelek untuk memutuskan penjualan kotak televisyen (TV) media yang mengandungi kandungan cetak rompak sebagai haram dan boleh diambil tindakan undang-undang berpotensi menjadi titik perubahan positif buat Astro Malaysia Holdings Berhad. 

 

Astro ‘terpaksa’ menyaksikan langganan TV kumpulan menyusut 26% kepada RM3.2 bilion daripada paras tertinggi iaitu RM4.4 bilion yang dicatatkannya sejak lima tahun lalu.

 

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh lebih ramai pelanggan membeli kotak TV yang mengandungi kandungan cetak rompak Astro, dan dalam masa sama menghentikan langganan akaun Astro mereka. 

 

Pembelian kotak TV pula mudah untuk diperoleh menerusi platform perdagangan dalam talian seperti Lazada, Shopee dan Facebook Marketplace.

 

Seiring keputusan mahkamah, sekiranya Astro berjaya meraih semula pelanggan mereka yang beralih ke kotak TV, penganalisis di Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), Yin Shao Yang menjangkakan keuntungan bersih utama tambahan yang bakal dicatatkan Astro melonjak kepada kira-kira RM550 juta.

 

“Secara asasnya, harga saham Astro akan meningkat dua kali ganda sekiranya ia meraih semula semua hasil langganan TV yang hilang sepanjang tempoh lima tahun ini. Kami tidak pasti sekiranya langkah ini boleh dicapai memandangkan munculnya teknologi 5G yang akan memudahkan kandungan Astro untuk dicetak rompak menerusi kaedah lain yang tidak diketahui. 

 

“Kami pernah mendengar terdapat anekdot menarik cetak rompak yang menayangkan acara sukan utama secara langsung ke telefon bimbit penonton tanpa memerlukan kotak TV,” jelas Shao Yang dalam satu nota kajian. 

 

Pada 24 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Harta Intelek memutuskan bahawa penjualan kotak TV dengan kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hak cipta adalah haram.

 

Ini susulan kes yang dibawa oleh Measat Broadcast Networks Sdn. Bhd, iaitu penyedia perkhidmatan untuk Astro terhadap penjual peralatan perisian penstriman haram (ISD) yang menyediakan aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah atau di laman kandungan penstriman haram.

 

Berdasarkan pemerhatian Maybank IB, ramai yang membeli kotak TV dengan kandungan cetak rompak untuk menonton kandungan Astro. 

 

Rata-ratanya, kotak TV jarang dijual melebihi RM800, walaupun didatangi dengan yuran langganan rendah. 

 

Jika dibandingkan dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) bulanan Astro iaitu RM100, tidak hairanlah semakin ramai rakyat Malaysia membeli kotak TV untuk menonton kandungan Astro sambil menghentikan akaun Astro mereka.

 

Apabila pelanggan Malaysia membatalkan akaun Astro, kumpulan terpaksa meninggalkan kotak atas set (STB) dan unit luar (ODU) kepada pelanggan disebabkan lebih banyak kos terpaksa dibelanjakan untuk nyahpasang kesemua ‘aksesori’ berkenaan. 

 

Tambahan pula, Astro dapat mengembalikan semula langganan pengguna yang sebelum ini beralih kepada kotak TV tanpa menelan belanja lebihan.

 

“Sekiranya Astro meraih kembali hasil langganan TV berjumlah RM100 juta, kami mendapati bahawa kumpulan akan melabur semula sepertiga daripada hasil itu untuk kandungannya. 

 

“Selepas menolak 24% kadar cukai korporat, keuntungan bersih utama tambahan akan menjadi RM51 juta. Ini seterusnya meningkatkan TP kami sebanyak 10 sen,” tambah Shao Yang.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘beli’ saham Astro dengan TP pada kadar RM1.36 sesaham. - DagangNews.com