UCrest, StayOnline bekerjasama tawar perkhidmatan perubatan pintar kepada penduduk di Afrika | DagangNews Skip to main content

UCrest, StayOnline bekerjasama tawar perkhidmatan perubatan pintar kepada penduduk di Afrika

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - UCrest Bhd memeterai perjanjian perkongsian perniagaan (BPA) dengan StayOnline Ltd bagi menawarkan perkhidmatan perubatan pintar kepada penduduk di Rwanda, Kenya, Uganda dan Zambia.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi perjanjian itu mereka akan mendigitalkan industri penjagaan kesihatan dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan internet perkara perubatan (IoMT) ke dalam perkhidmatan perubatan bagi melonjakkan industri itu ke era baharu.

 

Katanya, perjian itu juga menandakan permulaan era kesihatan digital di Rwanda dan Afrika secara amnya dengan penggunaan teknologi AI dan IoMT dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

"Perkongsian itu adalah strategik dan berperanan dalam meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan ke peringkat seterusnya, dengan tahap automasi dan kecekapan yang tinggi.

 

"Penubuhan pusat kecemerlangan kesihatan digital akan menjadikan Rwanda sebagai hab kesihatan digital di benua itu dan berfungsi sebagai pemangkin kesihatan digital ke negara lain di Afrika," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

UCrest dan StayOnline akan bersama-sama membangunkan iMedic Centre of Excellence (iCOE) untuk penjagaan kesihatan digital dengan kerjasama penyedia perkhidmatan perubatan terkemuka dan universiti atau pusat penyelidikan, menyediakan latihan dan pensijilan kepada doktor, mempercepatkan pendigitalan industri penjagaan kesihatan.

 

Pusat kecemerlangan itu akan berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan dan pembangunan IoMT dan AI dalam industri penjagaan kesihatan, kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan, syarikat pemula atau syarikat teknologi perubatan bagi mempercepatkan pendigitalan ekonomi negara.

 

Perjanjian itu dijangka tidak mempunyai kesan ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2024. - DagangNews.com